Friday, September 19, 2008

Peranan Dana Milik Negara (SWF), Negara Barat Ketakutan?


PERKATAAN Sovereign Wealth Funds (SWF) atau Dana Milik Negara banyak menghiasi kalendar berita berkaitan ekonomi sepanjang tahun 2007 lalu. Walaupun ia menjadi satu terminologi baru dalam lanskap pelaburan terutamanya diperingkat global, rentetan peranan dana ini dalam membuat pelaburan berprofil tinggi seringkali diintai pihak media dan menjadi bualan hangat kalangan pakar ekonomi sehinggalah ahli-ahli politik.

Peranan SWF terbesar didunia dengan kantung dana berjumlah AS$1.3 trilion hasil jualan minyak iaitu Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), yang bercadang melabur berbilion dolar didalam sektor kewangan Amerika Syarikat yang kini sedang tenat akibat krisis kredit, mendapat perhatian serius kalangan penggubal dasar di sebelah barat termasuklah di Eropah. Malah sewaktu Persidangan Ekonomi Dunia di Geneva penghujung tahun lalu juga menjadikan SWF topik utama perdebatan dan perbincangan.

Persoalan utama yang bermain dikalangan ahli politik dan perniagaan terutamanya dari barat ialah sejauhmana SWF berperanan sebagai entiti komersil atau sebagai senjata politik sesebuah negara untuk menjajah negara lain? Kebimbangan ini ditambah lagi dengan hampir separuh daripada SWF yang wujud seluruh dunia datang dari negara-negara Islam termasuklah Iran dan Libya selain dari Rusia dan China.

SWF merujuk kepada entiti yang ditubuhkan oleh sesebuah negara bagi menguruskan lebihan simpanan wang negara serta menjadi jentera pelaburan terutamanya peringkat global. Ia menyimpan atau menguruskan lebihan kekayaan tunai milik negara seperti hasil jualan minyak dan gas. Akan tetapi peranan SWF dilihat lebih ‘low profile’ dan mempunyai posisi berasingan dengan peranan bank pusat. Kini, majalah The Economist melaporkan jumlah dana SWF seluruh dunia mencecah AS$2.5 trilion dan sebahagian negara Asia Barat, China, Rusia, Singapura dan Norway mendominasi kelompok ‘Super Seven’ dari segi jumlah dana terkumpul terbesar.

SEJARAH SWF


Sejarah penubuhan SWF bukanlah suatu yang baru. Walaupun kebanyakan negara seperti Singapura, Rusia, Korea Selatan, negara-negara Asia Barat dan yang terbaru China tahun lalu, mewujudkan SWF masing-masing seawal 1990an, negara terkecil kepulauan pasifik selatan, Kiribati dipercayai menjadi negara pertama menubuhkan SWF pada tahun 1956. Objektif utama penubuhan dana yang ditubuhkan kerajaan British dipanggil Revenue Equalization Reserve Fund (RERF) adalah untuk menyimpan cukai yang diperolehi hasil aktiviti ekonomi utama iaitu perlombongan galian fosfat, dan cukai ke atas aktiviti perikanan disekitar perairan negara itu. Setelah lebih 45 tahun dana beroperasi, ia kini mencatatkan jumlah simpanan negara mencecah AS$500 juta.

Pun begitu, disebabkan hasil bumi itu semakin habis pada tahun 1979, Kiribati hilang sumber pendapatan galian ini yang menyumbang 80 peratus pendapatan negara. Tetapi kini negara itu bernasib baik kerana dana RERF telah berjaya menyelamatkan daripada hilang sumber pendapatan- sekali gus memberikan idea kepada kebanyakan negara untuk menubuhkan SWF dan kepentingannya terhadap menyediakan sokongan ekonomi negara masing-masing.

Negara di Asia Tenggara seperti Malaysia juga tidak ketinggalan dengan idea penubuhan SWF ini melalui penubuhan Khazanah Nasional pada tahun 1993 dengan anggaran aset kini melebihi AS$20 bilion. Ia memiliki portfolio pelaburan yang bertumpu kepada sektor strategik domestik seperti kewangan, perkhidmatan dan utiliti. Manakala Singapura melalui Temasek Holdings dan Government of Singapore Investment Corp (GIC) memiliki sejumlah AS$510 bilion juga bertumpu kepada sektor kewangan dan perkhidmatan. Brunei pula secara kolektif memiliki sekitar AS$30 bilion hasil pendapatan minyak.

Modus operandi SWF yang lebih bersifat low profile selama ini telah berubah apabila Singapura melalui Temasek Holdings, membuat pengumuman untuk memiliki aset seberang laut dan tidak hanya bergantung kepada pelaburan dalam negeri. Firma perbankan British Standard Chartered plc, Alliance Bank (Malaysia), Bank of China (China) dan beberapa transaksi berprofil tinggi berjaya dilakukan oleh Temasek sejak tahun 2000 lagi.

Akibat tekanan dan kebimbangan kalangan negara khususnya pengeluar minyak utama dunia akan kehabisan rizab bumi mereka, maka penubuhan SWF dilihat sebagai jalan terbaik bagi mencari sumber pendapatan pelaburan luar negeri apabila minyak semakin kering. Agensi SWF di Qatar misalnya telah berbelanja sehingga RM75 bilion untuk membeli pusat membeli belah ketiga terbesar di Britain J. Saintbury dan berbilion dolar lagi membeli firma pembuat kapal terbang Airbus, EADS selain Bursa Saham Norway. Dubai juga mengikut jejak langkah sama apabila melabur sehingga AS$5 bilion untuk membeli firma pengendali pelaburan terbesar dunia Pacific and Orient (P&O).

PENJAJAHAN


Kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat akibat krisis kredit yang semakin melemahkan bank-bank utama barat memberi peluang kepada SWF memiliki saham dengan harga yang lebih murah. Firma seperti Citigroup, UBS AG mengumumkan kerugian berbilion dolar sekali gus memberi peluang kepada SWF terutamanya daripada Asia membeli saham firma barat pada harga yang jauh lebih murah. Tahun lalu juga menyaksikan SWF dari Asia Barat sahaja telah berbelanja sehingga AS$70 bilion untuk membeli aset seluruh dunia terutamanya di barat.

Hasilnya, krisis ini telah menyebabkan semakin banyak SWF secara langsung kini memegang saham firma-firma barat. Inilah yang dibimbangi oleh barat kerana ia berpotensi mengancam kepentingan barat selain menimbulkan ketidakstabilan politik. Sebagai contoh, pembelian firma gergasi Shin Corp di Thailand bernilai AS$4 bilion oleh Temasek dari Singapura, menyaksikan rusuhan besar-besaran dan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera.

TIADA GARIS PANDUAN

Disebabkan ketika ini tiada satu garis panduan khusus tentang aktiviti dan objektif penubuhan SWF yang sepatutnya disediakan oleh Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) atau Bank Dunia, maka tidak hairanlah setiap tingkah laku SWF didalam pasaran kewangan global dipandang serong. Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat secara terbuka berasa sangsi dengan tindak tanduk dan tahap ketelusan agensi pelaburan seperti Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) yang menyepi setelah membuat keputusan melabur AS$7 bilion didalam Citigroup awal tahun ini. Kebimbangan ini juga berasas apabila semakin banyak sektor strategik termasuklah yang dikuasai Yahudi kini jatuh ke tangan pelabur dari negara Islam selain Rusia dan China.

Tahun 2006 lalu juga telah membuktikan perasaan prejudis terhadap SWF terserlah apabila agensi pelaburan Dubai World yang berjaya membida saham dalam firma pelabuhan terbesar Eropah, Pacific & Orient (P&O) mendapat tentangan dari kalangan anggota kongres Amerika. Dengan alasan firma SWF berkuasa memboikot barangan keluaran Israel disemua pintu masuk pelabuhan milik P&O seluruh dunia, transaksi itu akhirnya gagal dilakukan.

Dapat disimpulkan disini bahawa ketakutan negara-negara barat terhadap tindak-tanduk SWF ini tidak dapat dibendung lagi. Walau kebanyakan pembelian firma dilakukan atas tujuan komersil, masih ada yang menganggap ia mempunyai elemen politik merentas sempadan- didakwa berpotensi mempengaruhi iklim ekonomi dan politik sesebuah negara.

Namun seperkara yang mungkin mereka sudah terlupa, mengimbau kembali sejarah kejatuhan ekonomi Asia 10 tahun lalu, firma pelaburan besar dari baratlah yang sibuk ‘membeli belah’ banyak syarikat besar milik Asia yang terpukul teruk akibat krisis. Kebanyakan firma besar di Korea, Thailand, Indonesia dan Filipina telah jatuh ke tangan barat melalui saluran IMF. Makanya, jika dahulu mereka menguasai, kini tiba pula masanya mereka dikuasai.

KEDUDUKAN SWF TERBESAR DIDUNIA

DANA NEGARA KEKAYAAN

Abu Dhabi Investment
Authority (UAE) (AS$1000 bilion)

China Investment Corp (CHINA) (AS$600 bilion)

The Government
Pension Fund of Norway (AS$350 bilion)

Russia Stabilization Fund (AS$150 bilion)

Government Investment Corp & Temasek Holding (SINGAPURA) (AS$500 bilion)

Kuwait Investment Authority (AS$100 bilion)