Friday, January 30, 2009

Kritik Yahudi; Bursa Saham Turki Menjunam


Susulan tindakan berani Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang 'naik angin' terhadap Presiden Israel berhubung isu Gaza, harga saham dan matawang negara itu menjunam.

Saya sempat membaca akhbar online negara itu Hurriyet melaporkan, beberapa jam selepas insiden yang berlaku ketika Forum Ekonomi di Davos itu berlaku, indeks IMKB-100- pengukur bagi saham di Bursa Saham Istanbul menjunam 225 mata kepada 25,567.40 mata. Matawangnya lira pula susut 0.2 peratus kepada 1.6412 bagi setiap dolar AS.

Turki sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel telah menikmati banyak kerjasama ekonomi dengan negara Yahudi itu, dan juga dengan Yahudi Amerika Syarikat. Maka akibat tindakan Erdogan ini dijangka akan menjejaskan pengaruh Yahudi terhadap ekonomi negara Islam itu.

Aktiviti anti semitik yang semakin berkembang dinegara itu ekoran konflik Gaza juga akan memberi kesan terhadap sektor pelancongan. Israel dan Amerika Syarikat menjadikan Istanbul sebagai destinasi pelancongan utama pilihan Yahudi. Malah negara itu juga turut menubuhkan pusat kebudayaan Yahudi di negara itu.

Akibat peristiwa ini, Pertubuhan Yahudi Amerika (AJC) pula memberi amaran tindakan Erdogan itu akan membahayakan ekonomi negara itu. Pertubuhan ini juga dijangka akan mengubah dasar Amerika itu yang selama ini menyokong Turki ketika peristiwa "Armenian Genocide' yang berlaku semasa perang dunia pertama lalu.

Adakah prospek ekonomi Turki dan negara lain selepas ini akan merosot selepas ini gara-gara menghentam ketidakadilan barat atau bangsa Yahudi?

Melihat kembali dua tahun lalu ketika perang tercetus antara Rusia dan sekutu barat, Georgia di Ossetia Selatan, pasaran kewangan Rusia terjejas terus akoran krisis ini apabila ramai pelabur asing barat bertindak keluar dari pasaran saham negara itu.

Indeks Micex di Bursa Saham Moscow dan matawangnya ruble menjunam melebihi 50 peratus dalam beberapa minggu sahaja dan masih tidak pulih sehingga kini. Ia ditambah lagi dengan krisis kejatuhan harga minyak yang menjadi sumber pendapatan utama negara itu.

Negara Asia Tenggara juga pernah mengalami masalah yang sama ekoran tindakan kumpulan negara ASEAN ini menerima kemasukan Myanmar didalam perikatan itu. Akibat tidak direstui barat, kebanyakan dana pelabur asing ditarik keluar secara mengejut yang akhirnya menyebabkan krisis matawang terburuk ketika tahun 1998 lalu.

Namun tanpa disedari, krisis ekonomi dunia ketika ini sebenarnya telah melemahkan Yahudi tetapi tidak didedahkan. Banyak firma perbankan milik bangsa itu diseluruh dunia terjejas dan ada yang sudah muflis. Tak kurang juga dengan skandal pelaburan terbesar AS bernilai AS$50 bilion yang melibatkan Bernard Madoff. Banyak pertubuhan Yahudi di Amerika hilang kerugian akibat skandal terbesar di As ketika ini.

Penulis: Syabas perbankan Islam!

Thursday, January 29, 2009

Kenapa AS Pula Tak Minta Bantuan IMF?

MELIHAT gelombang krisis ekonomi yang berlaku ketika ini, saya terfikir kembali apa yang berlaku 10 tahun lalu. Dek kerana mainan spekulator dan dana lindung nilai (hedge fund), banyak negara bergelar harimau Asia tersungkur satu persatu. Ketika itu datanglah pihak yang bernama Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) kononnya menjadi penyelamat (white knight). Malah nama IMF tiba-tiba menjadi popular seiring nama selebriti lain seperti George Soros.

Bagi negara yang terjejas, mereka dipaksa untuk tunduk kepada IMF ini bagi memulihkan ekonomi mereka. Bagi yang 'degil' seperti Malaysia, ia dikritik dan diugut begitu hebat sekali dengan harapan agar negara ini juga turut sama-sama tersungkur sama seperti Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.

Maka satu bentuk pakej preskripsi diperkenalkan oleh IMF ini. Mengetatkan perbelanjaan kerajaan, menaikkan kadar faedah, menutup bank-bank bermasalah dan menjual syarikat strategik milik negara kepada pihak asing. Strategi dan teori yang diagung-agungkan pihak barat ini didakwa paling mujarab untuk membina semula ekonomi negara yang terjejas. Ketika itu juga negara barat dengan egonya cuba mencanang keseluruh dunia- hanya IMF mampu menyelamatkan negara yang dilanda krisis.

Itu cerita 10 tahun lalu. Kini krisis baru datang kembali. Cumanya, mangsa terbaru kini beralih pula ke benua disebelah Amerika. Gara-gara tiga krisis berlaku serentak (hartanah, kredit dan perbankan), AS menjadi negara pencetus kepada krisis yang telah pun merebak keseluruh dunia ini. Akibatnya, hampir separuh dari firma perbankan negara itu seperti Lehman Brothers, Bear Stearns jatuh bankrap. Malah ekonomi Amerika Syarikat ketika ini boleh disifatkan sebagai nazak.

Persoalannya, adakah AS dan negara Eropah terjejas yang lain tidak minta bantuan IMF? Jawapannya tidak sama sekali!

Yang memalukan, hampir setiap preskripsi IMF yang diuar-uarkan kononnya sebagai mujarab sebelum ini langsung tidak diadaptasikan oleh AS dalam krisis kali ini. Dengan pakej AS$700 bilion, sebahagian besar dana digunakan untuk memodalkan, menyelamatkan bank-bank dan syarikat automotif yang bermasalah- suatu pendekatan yang diharamkan oleh IMF, 10 tahun lalu kerana ia didakwa akan membantu kroni-kroni dan ahli politik. Maka dapat dilihat satu-persatu firma konglomerat Asia dilelong kepada pihak barat pada harga yang murah.

Bukan setakat itu, sahaja, Rizab Persekutuan AS juga telah menurunkan kadar faedah secara drastik mencecah sifar bagi merangsang rakyat membuat pinjaman.- Langkah ini juga diharamkan oleh IMF kerana berdasarkan teori, kadar faedah yang rendah akan melemahkan matawang dan mengurangkan keuntungan bank-bank.

Maka apabila AS sendiri bertindak membelakangi preskripsi lapuk IMF itu, seluruh negara didunia ketika ini bertindak dengan cara tersendiri termasuklah menyelamatkan bank dan syarikat konglomerat mereka. Negara seperti Jepun, Australia pula misalnya berlumba-lumba menurunkan kadar faedah mencecah sifar untuk merangsang ekonomi yang semakin membeku. Indonesia dan Thailand yang baru 'dibebaskan' oleh IMF juga turut menurunkan kadar faedah dengan drastik selain memperuntukkan dana besar untuk perbelanjaan subsidi.

Kini tinggallah IMF dan teori lapuknya terkial-kial menyaksikan satu-persatu negara diseluruh dunia 'menderhaka' dengan perintah dan larangannya itu. Cumanya, 'kemaluan' IMF ketika ini tidaklah begitu terserlah kerana beberapa negara kecil yang sudah muflis ketika ini seperti Iceland, Hungary dan Ukraine sudi menerima bantuan badan dunia itu. Mungkin sebab itu juga publisiti IMF didalam media massa seluruh dunia ketika krisis kali ini kelihatan tenggelam disebalik populariti Barack Obama.

Maka dapat disimpulkan, wajarkah IMF ditutup sebagaimana bakal tertutupnya Teluk Guantanamo tidak lama lagi. Persoalan tentang kerelevanan IMF ini semakin kuat diutarakan apatah lagi AS, sebagai tempat letaknya ibu pejabat badan dunia ini dilihat tidak lagi dihormati ditanahairnya sendiri.

Jika IMF bagus, kenapa AS sendiri juga 'hilang selera' untuk mendapatkan bantuannya?

Friday, January 23, 2009

Rangsang Ekonomi; Beri Baucer Kepada Pengguna


Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui laman webnya www.1malaysia.com.my membuka cadangan tentang pakej rangsangan kedua yang bakal diumumkan tak lama lagi.

Pakej rangsangan pertama bernilai RM7 bilion yang diumumkan pada November lalu lebih mengutamakan sektor pembinaan dan pembangunan infrastruktur. Malangnya, nilai intristik bagi setiap RM1 yang dibelanjakan itu tidak dapat dirasai oleh golongan akar umbi dan rakyat kebanyakan.

Memang benar sektor pembinaan dapat memberikan kesan berganda dalam menggerakkan ekonomi. Akan tetapi, jika peruntukkan itu bersifat sentrik dan tidak menyeluruh, ia akhirnya akan menguntungkan pihak tertentu sahaja dan boleh menyebabkan pembaziran.

Maka, satu cadangan berikut mungkin sesuai dipertimbangkan:

1) Memberikan baucer tunai kepada pengguna

Ia mengambil contoh Taiwan yang menjadi negara pertama melakukan pendekatan ini. Pihak kerajaan memberikan baucer atau kupon kepada rakyat negara itu untuk berbelanja. Baucer itu yang dianggarkan bernilai lebih kurang AS$100 itu boleh dibelanjakan di hypermarket atau kedai-kedai tertentu. Dengan cara ini, ia dapat menimbulkan situasi menang-menang. Pengguna dapat membeli barangan keperluan, hypermarket dan pengeluar barangan dapat meningkatkan semula keuntungan dan akhirnya, kerajaan dapat menjana pertumbuhan ekonomi melalui kitaran perniagaan semulajadi yang dapat diaktifkan semula.

2) Peruntukan lebih kepada sektor pelancongan


Dalam suasana ekonomi muram, hanya pelancongan dilihat dapat memberikan kesan berganda paling mudah dalam menjana pertumbuhan. Dengan memberikan potongan cukai atau insentif kepada mereka yang terlibat dalam industri ini (syarikat penerbangan, hotel dan resorts, restoren, media dll), ia akhirnya akan menggalakkan orang ramai untuk mengeluarkan wang mereka untuk melancong. Yang penting, pengguna perlulah disajikan dengan pakej yang menarik dan kompetitif.

Dua cadangan ini dilihat paling mudah dan bersifat terus kepada golongan pengguna-enjin paling berkuasa untuk menggerakkan/menjatuhkan ekonomi sesebuah negara. Pihak kerajaan harus membuka mata dan berfikir lebih kreatif.

Wednesday, January 21, 2009

Wajarkah Indeks KLCI Diganti?


Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) yang menjadi petunjuk pasaran saham Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu bakal dimansuhkan dan digantikan dengan satu indeks terbaru dengan kerjasama firma FTSE dari London. (FTSE Bursa Malaysia KLCI)

Adakah ia akan berjaya mendapat sambutan?
Tiga tahun lalu pihak Bursa Malaysia menguar-uarkan indeks baru yang dilancarkan iaitu FTSE Bursa Malaysia Large 30 (FBM30) bakal menjadi indeks petunjuk terbaru. Ketika itu, indeks KLCI juga dikatakan bakal dimansuhkan tahun ini.

Malangnya, setelah tiga tahun beroperasi, tak ramai yang tahu kehadiran indeks ini, apatah lagi memanfaatkannya. Tidak ramai pengurus dana mahupun pelabur menggunakan FBM30 sebagai petunjuk. Mereka masih menggunakan KLCI sebagai petunjuk prestasi portfolio pelaburan mereka.

Disebabkan sambutan sepi, indeks FBM30 akhirnya bakal dimansuhkan menjelang Julai ini. Manakala KLCI pula tidak jadi dimansuhkan sebaliknya diberikan nafas baru. Menjelang Julai, KLCI yang sebelum ini mewakili 100 saham mewah akan berubah akan menjadi FTSE Bursa Malaysia KLCI tetapi mewakili hanya 30 sahaja saham berkualiti seperti TM, Sime Darby dan YTL. Ia kelihatan sama seperti yang dilakukan oleh Singapura yang menyusun semula indeks sahamnya- Straits Times (STI) kepada FTSE STI.

Pengajarannya, kita jangan terlalu drastik untuk berubah mengikut acuan luar. Perlu diingat, sebahagian besar masyarakat pelabur adalah terdiri daripada mereka yang sudah berumur, dan juga golongan pesara yang telah biasa dengan pasaran saham sejak puluhan tahun lalu. Maka mahu atau tidak, nilai sentimental yang ada pada format pasaran saham termasuklah pada KLCI perlu dipertahankan.