Friday, January 23, 2009

Rangsang Ekonomi; Beri Baucer Kepada Pengguna


Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui laman webnya www.1malaysia.com.my membuka cadangan tentang pakej rangsangan kedua yang bakal diumumkan tak lama lagi.

Pakej rangsangan pertama bernilai RM7 bilion yang diumumkan pada November lalu lebih mengutamakan sektor pembinaan dan pembangunan infrastruktur. Malangnya, nilai intristik bagi setiap RM1 yang dibelanjakan itu tidak dapat dirasai oleh golongan akar umbi dan rakyat kebanyakan.

Memang benar sektor pembinaan dapat memberikan kesan berganda dalam menggerakkan ekonomi. Akan tetapi, jika peruntukkan itu bersifat sentrik dan tidak menyeluruh, ia akhirnya akan menguntungkan pihak tertentu sahaja dan boleh menyebabkan pembaziran.

Maka, satu cadangan berikut mungkin sesuai dipertimbangkan:

1) Memberikan baucer tunai kepada pengguna

Ia mengambil contoh Taiwan yang menjadi negara pertama melakukan pendekatan ini. Pihak kerajaan memberikan baucer atau kupon kepada rakyat negara itu untuk berbelanja. Baucer itu yang dianggarkan bernilai lebih kurang AS$100 itu boleh dibelanjakan di hypermarket atau kedai-kedai tertentu. Dengan cara ini, ia dapat menimbulkan situasi menang-menang. Pengguna dapat membeli barangan keperluan, hypermarket dan pengeluar barangan dapat meningkatkan semula keuntungan dan akhirnya, kerajaan dapat menjana pertumbuhan ekonomi melalui kitaran perniagaan semulajadi yang dapat diaktifkan semula.

2) Peruntukan lebih kepada sektor pelancongan


Dalam suasana ekonomi muram, hanya pelancongan dilihat dapat memberikan kesan berganda paling mudah dalam menjana pertumbuhan. Dengan memberikan potongan cukai atau insentif kepada mereka yang terlibat dalam industri ini (syarikat penerbangan, hotel dan resorts, restoren, media dll), ia akhirnya akan menggalakkan orang ramai untuk mengeluarkan wang mereka untuk melancong. Yang penting, pengguna perlulah disajikan dengan pakej yang menarik dan kompetitif.

Dua cadangan ini dilihat paling mudah dan bersifat terus kepada golongan pengguna-enjin paling berkuasa untuk menggerakkan/menjatuhkan ekonomi sesebuah negara. Pihak kerajaan harus membuka mata dan berfikir lebih kreatif.