Wednesday, July 30, 2008

BERAKHIRNYA KUASA DOLAR AS


MASYARAKAT dunia ketika ini sentiasa disajikan dengan pergolakan turun naik harga barangan komoditi dunia seperti petroleum, emas, platinum dan pelbagai lagi setiap hari. Secara disedari atau tidak, belum pun krisis ini berjaya menemui jalan penyelesaian, ia telah pun berjaya merencat pertumbuhan ekonomi global selain menimbulkan kebimbangan dikalangan rakyat untuk berbelanja.

Namun seperkara yang tidak begitu sedar apakah punca sebenarnya nilai komoditi ketika ini naik mendadak diluar paras lojik manusia. Pandangan konservatif yang sering dilontarkan dikalangan pemikir ekonomi ialah berlakunya permintaan melebihi penawaran didalam pasaran. Semuanya gara-gara pertumbuhan ekonomi yang semakin tinggi di pasaran baru muncul (emerging market) seperti Brazil, Rusia, India dan juga China atau lebih sinonim dipanggil (BRIC).

Jika sebelum ini barangan komoditi dipandang enteng dikalangan pembeli dari negara-negara ini, kini mereka terpaksa ‘berebut’ untuk membeli barangan komoditi seperti petroleum, emas dan pelbagai galian lain semata-mata memenuhi permintaan rakyat di negara masing-masing. Keadaan inilah yang telah menyebabkan harga komoditi melambung tinggi secara tidak terkawal dipasaran global. Senario turun naik harga ini juga diburukkan lagi dengan penyertaan kalangan spekulator yang ‘berjudi’ untuk meraih untung atas pergerakan harga ini.

Berbeza dari pandangan umum, suasana ekonomi yang tidak selesa berlaku kebelakangan ini sebenarnya bukanlah berpunca daripada satu faktor sahaja (komoditi). Jika diteliti ke peringkat lebih kecil (mikro), semua perdagangan barangan komoditi dunia ketika ini adalah menggunakan matawang dolar AS. Maka mahu atau tidak, pergerakan harga yang melibatkan barangan dagangan komoditi didunia ketika ini adalah atas pengaruh turun naik nilai dolar AS juga.

Sejak tahun 2003 lagi, nilai dolar AS telah merosot melebihi 25 peratus ekoran keadaan ekonomi serta masalah defisit yang ditanggungnya sejak pasca perang Iraq lalu. Akibatnya, nilai dolar AS yang semakin merosot menjadikan ia lebih murah untuk dibeli dikalangan spekulator pasaran komoditi yang berpangkalan di luar AS. Ini bermaksud semakin turun nilai dolar AS berbanding Euro dan Yen misalnya, ia menjadikan pelabur yang memegang Euro dan Yen mempunyai lebih kuasa untuk membeli aset-aset dalam dolar AS termasuklah dipasaran komoditi.

Pelabur diluar AS kini dilihat sedang membeli-belah komoditi minyak dan lain-lain barangan komoditi seperti emas, nikel, perak dan arang batu. Apatah lagi barangan komoditi ketika ini menjadi instrumen terbaik dikalangan pengurus dana untuk melindung nilai pelaburan mereka daripada kesan inflasi. Kesan akibat permintaan yang semakin tinggi ini, ia sekali gus menolak naik harga barangan tersebut sehingga mencecah paras tertingginya dalam sejarah.

Sejak minyak diperkenalkan dan dipergunakan secara meluas didalam masyarakat bertamadun, sedikit sahaja pergerakan harga bahan api fosil ini secara langsung akan memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat. Dengan semakin meningkat kos sara hidup, ia bukan setakat membebankan kalangan masyarakat miskin tetapi dikalangan masyarakat kelas pertengahan yang tinggal dikawasan urban. Ia disebabkan oleh kenaikan harga barangan lain seperti makanan dan lain-lain barang keperluan harian. Maka dapat disimpulkan disini, kenaikan kebanyakan barangan ini termasuklah minyak dan makanan adalah bertitik tolak daripada kesan kelemahan nilai dolar AS itu sendiri.

Kesan kelemahan dolar ini sebenarnya melangkaui minyak dan makanan. Disebabkan Amerika Syarikat mengalami defisit perdagangan besar dikalangan rakan dagangan utamanya seperti China dan Jepun, penurunan dolar AS akan memburukkan lagi keadaan kerana kedua-dua buah negara ini adalah pemegang terbesar rizab asing didunia dan sebahagian besarnya adalah dalam dominasi dolar AS. Ketika ini, China menyimpan kira-kira AS$1.9 trilion rizab asing manakala Jepun pula memegang AS$1.3 trilion. Penurunan dolar AS sekali gus akan menyebabkan nilai rizab yang mereka pegang dalam dolar AS ini semakin turun nilainya berbanding matawang asing utama dunia yang lain.

Maka adalah tidak mengejutkan apabila ada kebimbangan dikalangan pemegang dolar AS yang nilai matawang ini akan terus menjunam. Ia akan berlaku gara-gara penukaran (conversion) matawang ini kepada matawang lain oleh bank-bank pusat negara terbabit. Ia diburukkan lagi dengan tindakan sesetengah negara pengeksport minyak yang menukar penggunaan dolar AS kepada Euro untuk urusan perdagangan minyak dunia.

Yang pastinya, Amerika Syarikat tidak begitu gembira dengan pendekatan ini walaupun kelemahan dolar AS akan menjadikan eksport negara itu menjadi lebih kompetitif selain mengurang margin defisit perdagangannya. Dari sudut politiknya, semakin kurang negara-negara seluruh dunia memegang dolar AS didalam bank-bank, maka semakin kuranglah kuasa dan hegemoninya didalam perdagangan dunia. Sehingga kini, dolar AS dan bala tentera adalah dua alat terpenting abad ini yang digunakan AS bagi mengekalkan hegemoni mereka diseluruh dunia.

Ia juga menerangkan kenapa dan mengapa Amerika Syarikat beria-ia ingin menyerang Iraq dan Saddam Hussein beberapa tahun lalu. Pada tahun 2000, Presiden Saddam Hussein dikatakan telah menghentikan urusniaga minyaknya menggunakan dolar AS selain menukarkan kira-kira AS$10 bilion simpanan rizabnya kepada matawang Euro. Walaupun dibawah sekatan ketat PBB, kedegilan Saddam ini telah dijadikan alasan oleh AS, Britain dan disokong Sepanyol untuk menyerang negara teluk itu pada tahun 2003.

Sejak tahun 2002 pula, Iran selaku pengeluar minyak kedua terbesar dunia pula telah mula menukar sebahagian matawang simpanan asingnya dalam dolar AS kepada Euro. Ketika suku kedua tahun 2008 ini, Iran secara keseluruhannya telah menukar kesemua simpanan dolar AS hasil perdagangan minyaknya kepada Euro. Secara tiba-tiba, sekutu rapat Amerika Syarikat iaitu Israel secara beriya-iya ingin menyerang Iran. Jika mengambil kes Iraq sebagai contoh, ia pasti wujud motif dikalangan negara barat untuk menekan Iran mengikut telunjuk Amerika Syarikat.

Bukan setakat negara Islam, Presiden Venezuela, Hugo Chavez yang terkenal dengan sikap keras kepala dan lantang bersuara juga secara terbuka mengalih urusan perdagangan minyak negara itu menggunakan matawang selain dolar AS. Secara rela atau tidak, Amerika Syarikat terpaksa merelakan semakin banyak negara pengeluar minyak utama dunia beralih kepada matawang utama dunia yang lain walaupun cuba dikekang AS. Penganalisis menjangka jika semakin banyak negara cuba mengelak dari menggunakan dolar sebagai matawang perdagangan mereka, maka kuasa dan hegemoni Amerika Syarikat semakin lama akan susut dalam arena politik global.

Jadi tak hairanlah ketika ini ada negara-negara yang begitu ghairah menjalinkan kerjasama perdagangan dikalangan rantau atau negara jiran- sekali gus membelakangi Amerika Syarikat. Negara Amerika Latin seperti Venezuela, Bolivia dan Cuba berdagang sesama sendiri menggunakan sistem barter atau tanpa menggunakan dolar. Manakala Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pula memperkenalkan perdagangan Intra-ASEAN selain mencari rakan dagang baru seperti China dan India.

Kini suara untuk melakukan perubahan terhadap kerangka sistem kewangan dunia semakin jelas kedengaran. Bukan setakat sistem tetapi agensi Bretton Woods seperti Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Semuanya gara-gara kepincangan yang semakin hari semakin ketara, dan menindas kebanyakan negara miskin. Persoalannya, sejauhmana negara tertindas mampu bersuara sedangkan pemimpin didalam negara-negara terbabit masih berada dalam keadaan terlalu lemah?

Penulis: Dolar AS lemah, Euro pun jatuh, Yen pula tersungkur...

Tuesday, July 15, 2008

Susahnya jadi 'orang kerajaan'


Perdebatan antara 'orang kerajaan' dan orang pembangkang' berkenaan isu minyak yang dinanti-nantikan selama ini sudah pun menjadi realiti. Syabas kepada kedua-dua pihak kerana terbuka untuk membincangkan isu ini walaupun ramai yang beranggapan (termasuk saya sendiri) ia bersifat retrorik semata-mata. Namun secara keseluruhannya, apa yang boleh saya katakan ialah kedua-dua pendebat terikat dengan hujah yang diibarat antara langit dengan bumi.

Orang kerajaan dilihat membincangkan isu yang bersifat makro (kenaikan harga minyak global disana-sini)- sesuatu yang sudah biasa didengar dan jauh dari jangkauan pemahaman rakyat bawahan. Manakala orang pembangkang pula lebih tertumpu kepada isu mikro (pengurusan dan termasuklah ketirisan)- sesuatu telahan berbaur prejudis yang tidak berbukti.

Sebenarnya halatuju debat terbabit boleh diperbetulkan jika kedua-dua pihak lebih menumpukan soal pokok yang juga menjadi tajuk asal debat "bagaimana harga minyak itu boleh diturunkan". Atau yang boleh disentuh (pasti rakyat juga ingin tahu)- bagaimana dan kemana wang sumbangan Petronas itu akan dibelanjakan?

Saya rasa sehingga kini tidak ada seorang pun orang kerajaan yang dapat memberikan sebarang jawapan yang meyakinkan berkenaan isu ini. Mungkin mereka yang bertugas di Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan perlu bersikap lebih terbuka untuk kepentingan rakyat. Kelmarin Petronas mengumumkan akan menyumbang sehingga RM61 bilion keuntungannya kepada kerajaan. Lebih manis jika pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri sendiri tampil dengan cadangan kemana yang itu akan disalurkan.

Dilihat orang pembangkang ada memberikan cadangan termasuklah mengenakan cukai durian runtuh 'winfall tax' keatas stesen penjana bebas IPP. Namun itu bukanlah cadangan terbaru kerana pihak kerajaan sendiri sudah tampil dengan cadangan seperti itu sebelum ini. Selain IPP, winfall tax' juga turut dikenakan kepada syarikat-syarikat perladangan negara ini yang turut sama menikmati durian runtuh ketika ini hasil kenaikan harga minyak sawit. Hasil cukai syarikat perladangan yang berjumlah RM2.3 bilion ini digunakan semula untuk memberi subsidi dan menstabilkan harga minyak masak dan makanan yang lain dalam pasaran.

Namun seperti biasa dalam mana-mana majlis pasca pilihanraya Mac lalu, orang kerajaan pasti akan menjadi sasaran 'panas' berbanding pihak lawan. Sudah menjadi lumrah dalam perlawanan, pihak lawan pasti akan menggunakan apa saja 'fakta lojik' bersulamkan emosi untuk menagih perhatian audien. Mereka juga lebih bebas bercakap kerana terlibat atau tidak faham proses pengurusan yang berlaku dalam kerajaan.

Apatah lagi kemunculannya buat julung kalinya orang pembangkang ini sejak 10 tahun lalu didalam media arus perdana sememangnya dinantikan oleh penonton. Itulah cabaran getir yang perlu dihadapi oleh orang kerajaan!

Syabas kepada Menteri Penerangan Datuk Shabery Cheek dan Datuk Seri Anwar berjaya membuka lembaran baru dalam warna-warni politik tanahair. Berdebat secara terbuka untuk membincangkan isu berbangkit akan menyuburkan lagi proses demokrasi dinegara ini. Daripada membuang masa dan waktu kerja kalangan penyokong politik masing-masing untuk berdemo, sama seperti yang dilakukan di Zimbabwe dan republik Haiti, adalah lebih baik sekiranya ia diluahkan melalui debat terbuka yang lebih profesional dan bertamadun.

Penulis: Syabas juga kepada Astro Awani dan TV9

Wednesday, July 2, 2008

APABILA TELAGA MINYAK BUMI ARAB KIAN KERING


EMAS hitam, suatu barang berharga yang amat sinonim dengan bumi Arab. Sejak ia ditemui sekitar tahun 1930an, sehingga kini hampir separuh daripada perdagangan petroleum dunia didominasi oleh negara-negara dirantau ini selain Nigeria, Venezuela dan juga Rusia. Sesetengah negara pengeluar ini pula ada yang bergantung sepenuhnya kepada kekayaan hasil jualan minyak untuk pembangunan negara mereka.

Pengeluaran minyak dinegara-negara Arab ketika ini boleh dianggap berada dikemuncaknya apabila harga bahan api ini kini melonjak sehingga melebihi AS$80 setong. Ditengah-tengah tekanan kenaikan harga ini, Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak atau OPEC kini bertungkus lumus menghasilkan pelbagai formula bagi mengimbangi kenaikan harga minyak dipasaran global. Antara pendekatan yang digunakan ialah dengan meningkatkan lagi pengeluaran bagi memenuhi permintaan. Malangnya, kebanyakan strategi yang diperkenalkan gagal membendung tekanan kenaikan harga ini.

Kenaikan harga minyak secara langsung memberikan banyak faedah kepada negara-negara pengeluar selepas mengalami kejatuhan teruk pada awal tahun 2002. Negara seperti Emiriyah Arab Bersatu UAE, Kuwait, Qatar dan Abu Dhabi- yang dikatakan sebagai bandar yang terapung diatas lautan minyak dibawah tanah ditemui pada tahun 1966, merekodkan jualan melebihi AS$1 trilion sejak kenaikan harga minyak bermula awal tahun 2005 lalu. Dengan kekayaan yang dikurniakan oleh Allah ini, ia memberi peluang kepada negara ini untuk melakukan transformasi ekonomi mereka yang sebelum ini hanya terdiri daripada padang pasir dan gurun, kepada kota-kota moden yang lengkap dengan pelbagai infrastruktur seperti Dubai, Doha, Muscat, Abu Dhabi, Manama dan juga Kuwait.

Akibat permintaan yang tinggi daripada negara seperti China dan India, negara pengeluar utama seperti Arab Saudi yang juga penyimpan rizab minyak terbesar dunia berjumlah 340 bilion tong, merekodkan peningkatan pengeluaran hasil buminya sejak dua tahun lalu daripada 9 juta tong sehari kepada 15 juta tong untuk dieksport. Penganalisis petroleum dari barat percaya negara itu khususnya di wilayah Gharwar, dikatakan memiliki simpanan minyak terbesar di planet yang pernah direkodkan sehingga kini.

Maka tidak dapat dinafikan, hasil bumi seperti petroleum ini sememangnya telah menguatkan ekonomi, sosial serta politik kalangan negara-negara Arab. Melihat seperti apa yang berlaku pada tahun 1973 apabila sekatan atau embargo dikenakan bagi membantah tindakan pencerobohan Israel di Palestin, membuktikan minyak mampu menjadi pedang yang sangat berbisa dalam menundukkan kekuatan politik negara bukan Islam yang lain.

Pun begitu, Dr. Craig Hatfield dari University of Toledo menjangkakan sumber bahan hidrokarbon ini bukanlah kurniaan Tuhan selama-lamanya. Menjelang tahun 2050, dunia bakal mengalami krisis tenaga akibat kurangnya bekalan minyak global. Ia didorong oleh permintaan yang semakin tinggi kalangan negara pesat membangun serta kurangnya penemuan telaga-telaga baru yang mempunyai deposit minyak mentah yang benar-benar signifikan. Maka persoalan yang timbul disini ialah sampai bila negara-negara pengeluar utama minyak dunia ini akam bergantung kepada sumber semulajadi yang pasti akan kehabisan suatu hari nanti? Serta apakah persediaan negara tersebut untuk beralih sumber pendapatan mereka untuk terus mengurus dan mentadbir negara mereka ini?

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Oil and Gas Journals 2007, jumlah rizab minyak dunia ketika ini adalah berjumlah 1317.4 bilion tong dengan 686 bilion tong berpusat di rantau Timur Tengah. Rantau ini juga membekalkan sehingga 28 peratus kepada keperluan minyak dunia dan ia dijangka hanya mampu bertahan selama 90 tahun lagi. Jika Arab Saudi mengeluarkan purata 15 juta tong sehari tanpa menggunakan teknologi untuk mengekstrak minyak mentah dengan lebih efisien, ia hanya dijangka mampu bertahan sehingga 100 tahun akan datang.

Manakala negara kecil seperti Emiriyah Arab Bersatu UAE dan Kuwait pula memiliki rizab minyak sehingga melebihi 100 bilion tong. Jumlah sebanyak ini dijangka hanya mampu bertahan selama 60 tahun lagi jika telaga baru tidak ditemui atau dibangunkan. Kesemua fakta ini telah merubah sedikit sebanyak polisi pengurusan serta pembangunan ekonomi negara-negara terbabit khususnya sejak tahun 2000 lagi. Ini kerana, kebanyakan negara pengeluar minyak khususnya rantau teluk sangat bergantung kepada sumber eksport minyak mentah sebagai sumber pendapatan utama untuk pembangunan negara.

Antara yang paling agresif melakukan transformasi pembangunan ekonomi mereka ialah Emiriyah Arab Bersatu UAE dan juga negara jirannya Qatar. Daripada hanya sebuah padang pasir seluas 3900 km persegi serta jumlah penduduk 1.67 juta, Dubai yang kini mendapat jolokan Hong Kong Timur Tengah telah beralih kepada sebuah bandar moden dan menjadi pusat perdagangan global utama khususnya melibatkan perdagangan rantau Arab. Selain pusat perdagangan minyak dan juga emas, polisi kewangan serta bebas cukai yang diperkenalkan oleh kerajaan juga berjaya menjadikan Dubai sebagai 'span' yang menyerap kebanyakan syarikat-syarikat bertaraf global untuk bertapak di bumi padang pasir itu.

Dengan kekayaan hasil jualan minyak yang dianggarkan mencecah AS$500 bilion, ini juga telah mendorong kerajaan UAE untuk melancarkan pelbagai projek mega berprestij bernilai ratusan bilion dolar. Antara yang ikon ketika ini ialah hotel terkemuka Burj Dubai dan projek pembangunan diatas tebus guna tanah diberi nama Palm Jumeirah. Selain itu, Dubai juga menubuhkan Dubai Financial Centre (DFC) sebuah pusat kewangan bertaraf antarabangsa yang kini berjaya menarik firma perbankan global seperti HSBC, ABN Amro, Royal Bank of Scotland dan pelbagai lagi menubuhkan pusat operasi serantau mereka di zon ini.

Bukan setakat syarikat asing sahaja, UAE juga aktif membina perniagaan yang mempunyai hubungan atau 'korelasi' yang rendah terhadap perniagaan berkaitan minyak dan gas yang dipelopori sejak sekian lama. Antara sektor perniagaan itu adalah industri penerbangan seperti Emirates Airlines dan pelaburan Dubai World. Syarikat penerbangan Emirates Airlines ini semakin menjadi antara syarikat penerbangan paling pantas berkembang di Asia dengan rangkaian penerbangan menjangkau seluruh dunia. Agensi pelaburan Dubai World pula aktif membeli syarikat antarabangsa seperti firma pelabuhan British P&O dan Bursa Saham Nasdaq.

Perkembangan kemajuan ini juga diikuti rapat oleh pesaingnya terdekatnya iaitu Qatar. Sedang Dubai berusaha memenangi hati pelabur antarabangsa untuk melabur didalam sektor kewangan dan pelancongannya, Qatar secara agresif mengikut jejak langkah yang sama dengan melancarkan pusat kewangan antarabangsanya sendiri yang diberi nama Qatar Financial Centre (QFC). Pelaburan bernilai AS$130 bilion didalam pelbagai projek infrastruktur juga menjadikan negara ini semakin hampir menyaingi Dubai.

Tidak cukup dengan pelaburan dalam negeri, kerajaan Qatar melalui agensi pelaburannya Qatar Investment Authority (QIA) juga giat melabur dan membeli berdozen-dozen syarikat antarabangsa dalam usaha mempelbagaikan pendapatannya selain daripada jualan minyak.

Antara pelaburan berprestij yang berjaya dilakukan oleh QIA sehingga kini ialah pelaburan dalam EADS, syarikat pembuat pesawat Airbus. Selain itu Qatar juga giat membida saham syarikat Bursa Saham London dan Bursa Saham Norway selain membelanjakan sehingga RM75 bilion untuk membeli pusat membeli belah ketiga terbesar di Britain, J Saintbury.

Jelas dapat dilihat disini kebanyakan negara pengeluar utama minyak dunia kini sudah mula sedar bahawa rezeki berbentuk emas hitan kurniaan Allah ini bukanlah bersifat selama-lamanya. Justeru, kesan yang bakal mereka terima apabila telaga-telaga minyak mereka mulai kering menjelang puluhan tahun akan datang kini sudah mula diambilkira oleh pihak pemerintah serta penggubal polisi negara.

Maka mereka kini sedang giat mempelbagaikan (diversify) sumber pendapatan mereka kepada sektor berpotensi seperti pelancongan dan kewangan dan tidak lagi bergantung kepada jualan minyak semata-mata. Proses transformasi ini bukan hanya terhad dikalangan negara teluk sahaja tetapi meliputi hampir kesemua rantau Arab seperti Arab Saudi, Jordan, Mesir dan juga Iran. Disini juga jelas membuktikan dunia Islam kini semakin meluaskan empayar ekonominya merentas benua tanpa hanya bergantung kepada hasil bumi sendiri sekaligus menjadikan umatnya lebih liberal dan celik terhadap pengurusan ekonomi.


Penulis: Ada pihak menganggap banyak negara Arab kini sibuk membina projek mega yang tak perlu. Adakah ia dikira satu pembaziran?