Wednesday, January 21, 2009

Wajarkah Indeks KLCI Diganti?


Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) yang menjadi petunjuk pasaran saham Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu bakal dimansuhkan dan digantikan dengan satu indeks terbaru dengan kerjasama firma FTSE dari London. (FTSE Bursa Malaysia KLCI)

Adakah ia akan berjaya mendapat sambutan?
Tiga tahun lalu pihak Bursa Malaysia menguar-uarkan indeks baru yang dilancarkan iaitu FTSE Bursa Malaysia Large 30 (FBM30) bakal menjadi indeks petunjuk terbaru. Ketika itu, indeks KLCI juga dikatakan bakal dimansuhkan tahun ini.

Malangnya, setelah tiga tahun beroperasi, tak ramai yang tahu kehadiran indeks ini, apatah lagi memanfaatkannya. Tidak ramai pengurus dana mahupun pelabur menggunakan FBM30 sebagai petunjuk. Mereka masih menggunakan KLCI sebagai petunjuk prestasi portfolio pelaburan mereka.

Disebabkan sambutan sepi, indeks FBM30 akhirnya bakal dimansuhkan menjelang Julai ini. Manakala KLCI pula tidak jadi dimansuhkan sebaliknya diberikan nafas baru. Menjelang Julai, KLCI yang sebelum ini mewakili 100 saham mewah akan berubah akan menjadi FTSE Bursa Malaysia KLCI tetapi mewakili hanya 30 sahaja saham berkualiti seperti TM, Sime Darby dan YTL. Ia kelihatan sama seperti yang dilakukan oleh Singapura yang menyusun semula indeks sahamnya- Straits Times (STI) kepada FTSE STI.

Pengajarannya, kita jangan terlalu drastik untuk berubah mengikut acuan luar. Perlu diingat, sebahagian besar masyarakat pelabur adalah terdiri daripada mereka yang sudah berumur, dan juga golongan pesara yang telah biasa dengan pasaran saham sejak puluhan tahun lalu. Maka mahu atau tidak, nilai sentimental yang ada pada format pasaran saham termasuklah pada KLCI perlu dipertahankan.