Thursday, January 29, 2009

Kenapa AS Pula Tak Minta Bantuan IMF?

MELIHAT gelombang krisis ekonomi yang berlaku ketika ini, saya terfikir kembali apa yang berlaku 10 tahun lalu. Dek kerana mainan spekulator dan dana lindung nilai (hedge fund), banyak negara bergelar harimau Asia tersungkur satu persatu. Ketika itu datanglah pihak yang bernama Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) kononnya menjadi penyelamat (white knight). Malah nama IMF tiba-tiba menjadi popular seiring nama selebriti lain seperti George Soros.

Bagi negara yang terjejas, mereka dipaksa untuk tunduk kepada IMF ini bagi memulihkan ekonomi mereka. Bagi yang 'degil' seperti Malaysia, ia dikritik dan diugut begitu hebat sekali dengan harapan agar negara ini juga turut sama-sama tersungkur sama seperti Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.

Maka satu bentuk pakej preskripsi diperkenalkan oleh IMF ini. Mengetatkan perbelanjaan kerajaan, menaikkan kadar faedah, menutup bank-bank bermasalah dan menjual syarikat strategik milik negara kepada pihak asing. Strategi dan teori yang diagung-agungkan pihak barat ini didakwa paling mujarab untuk membina semula ekonomi negara yang terjejas. Ketika itu juga negara barat dengan egonya cuba mencanang keseluruh dunia- hanya IMF mampu menyelamatkan negara yang dilanda krisis.

Itu cerita 10 tahun lalu. Kini krisis baru datang kembali. Cumanya, mangsa terbaru kini beralih pula ke benua disebelah Amerika. Gara-gara tiga krisis berlaku serentak (hartanah, kredit dan perbankan), AS menjadi negara pencetus kepada krisis yang telah pun merebak keseluruh dunia ini. Akibatnya, hampir separuh dari firma perbankan negara itu seperti Lehman Brothers, Bear Stearns jatuh bankrap. Malah ekonomi Amerika Syarikat ketika ini boleh disifatkan sebagai nazak.

Persoalannya, adakah AS dan negara Eropah terjejas yang lain tidak minta bantuan IMF? Jawapannya tidak sama sekali!

Yang memalukan, hampir setiap preskripsi IMF yang diuar-uarkan kononnya sebagai mujarab sebelum ini langsung tidak diadaptasikan oleh AS dalam krisis kali ini. Dengan pakej AS$700 bilion, sebahagian besar dana digunakan untuk memodalkan, menyelamatkan bank-bank dan syarikat automotif yang bermasalah- suatu pendekatan yang diharamkan oleh IMF, 10 tahun lalu kerana ia didakwa akan membantu kroni-kroni dan ahli politik. Maka dapat dilihat satu-persatu firma konglomerat Asia dilelong kepada pihak barat pada harga yang murah.

Bukan setakat itu, sahaja, Rizab Persekutuan AS juga telah menurunkan kadar faedah secara drastik mencecah sifar bagi merangsang rakyat membuat pinjaman.- Langkah ini juga diharamkan oleh IMF kerana berdasarkan teori, kadar faedah yang rendah akan melemahkan matawang dan mengurangkan keuntungan bank-bank.

Maka apabila AS sendiri bertindak membelakangi preskripsi lapuk IMF itu, seluruh negara didunia ketika ini bertindak dengan cara tersendiri termasuklah menyelamatkan bank dan syarikat konglomerat mereka. Negara seperti Jepun, Australia pula misalnya berlumba-lumba menurunkan kadar faedah mencecah sifar untuk merangsang ekonomi yang semakin membeku. Indonesia dan Thailand yang baru 'dibebaskan' oleh IMF juga turut menurunkan kadar faedah dengan drastik selain memperuntukkan dana besar untuk perbelanjaan subsidi.

Kini tinggallah IMF dan teori lapuknya terkial-kial menyaksikan satu-persatu negara diseluruh dunia 'menderhaka' dengan perintah dan larangannya itu. Cumanya, 'kemaluan' IMF ketika ini tidaklah begitu terserlah kerana beberapa negara kecil yang sudah muflis ketika ini seperti Iceland, Hungary dan Ukraine sudi menerima bantuan badan dunia itu. Mungkin sebab itu juga publisiti IMF didalam media massa seluruh dunia ketika krisis kali ini kelihatan tenggelam disebalik populariti Barack Obama.

Maka dapat disimpulkan, wajarkah IMF ditutup sebagaimana bakal tertutupnya Teluk Guantanamo tidak lama lagi. Persoalan tentang kerelevanan IMF ini semakin kuat diutarakan apatah lagi AS, sebagai tempat letaknya ibu pejabat badan dunia ini dilihat tidak lagi dihormati ditanahairnya sendiri.

Jika IMF bagus, kenapa AS sendiri juga 'hilang selera' untuk mendapatkan bantuannya?