Friday, August 2, 2013

DAGANGAN EMAS: RISIKO DAN REALITI YANG TIDAK DIKETAHUI

Artikel bulanan saya dalam majalah Dewan Masyarakat isu Mac 2013


















Oleh: Nazmy Shah Sannusi

TAHUN lalu negara telah dikejutkan dengan pelbagai cerita berkenaan dagangan komoditi emas melalui ejen yang telah mengalami kerugian jutaan ringgit. Ironinya, bukan setakat golongan VIP yang mengaku telah terpedaya untuk melaburkan banyak wang untuk skim pelaburan ini, malah golongan miskin juga tidak terkecuali. Semuanya gara-gara terpedaya dengan pulangan lumayan yang ‘pasti’ akan diperolehi melalui skim-skim yang ditawarkan melalui ejen-ejen mereka yang sememangnya tidak diiktiraf pihak berkuasa. Kini walaupun setelah beberapa bulan berlalu, kesan dan juga luka yang dialami oleh komuniti pelabur negara ini masih belum pulih. Realiti yang wujud di negara ini pada ketika ini ialah, rakyat Malaysia mempunyai banyak dana dalam tangan mereka dan masih tercari-cari dimana platform paling sesuai untuk dilaburkan dan mendapat pulangan jangkamasa panjang.

Walau bagimanapun disebabkan tidak banyak platform pelaburan di negara ini yang mampu menawarkan pulangan tinggi, mereka terdorong untuk mencari alternatif lain walaupun kurang faham tentang konsep serta risiko yang bakal mereka hadapi. Salah satu peluang tersebut ialah dengan pelaburan emas. Berdasarkan sejarah, dagangan emas digunakan suatu ketika dahulu sebagai instrumen perdagangan yang mempunyai taraf sama seperti matawang. Pada abad ke 19, kebanyakan negara Eropah menggunakan emas sebagai matawang untuk urusan perdagangan antara negara. Namun emas telah dihentikan penggunaannya pada perang dunia pertama ekoran krisis ekonomi yang berlaku pada ketika itu. Pasca perang dunia kedua pula, sistem Bretton Woods yang turut menubuhkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia telah mengikat dolar Amerika kepada US$35 bagi setiap 1 ouns emas. Sistem ini wujud untuk sekian lama tetapi telah dihentikan pada tahun 1971 oleh Presiden Nixon dan menggantikan sepenuhnya kepada dagangan matawang kertas (matawang fiat) tanpa cagaran emas. Sehingga kini, Switzerland negara terakhir yang berhenti menggunakan emas sebagai sandaran matawang Swiss Franc mereka pada tahun 2000.

Ramai yang masih berganggapan bahawa pelaburan emas dapat memberikan keuntungan lumayan jangkamasa panjang. Para sarjana dalam bidang teologi (agama) juga bahawa emas adalah satu bentuk instrumen pelaburan yang baik untuk dipegang dalam keadaan ekonomi tidak menentu. Atas kepercayaan inilah maka ramai kalangan masyarakat berfikiran bahawa dengan membeli emas, kekayaan mereka dapat dipertingkatkan atau sekurang-kurangnya, dipertahankan daripada faktor inflasi. Harga Turun Naik ‘Melampau’ Walau bagaimanapun, prinsip serta falsafah tersebut sebenarnya tidak lagi bertepatan untuk digunakan pada ketika ini. Emas, sama seperti logam (precious metal) lain seperti perak, timah, platinum, kuprum adalah antara logam berstatus komoditi yang diperdagangkan diseluruh dunia. Emas misalnya diperdagangkan secara bebas melalui Bursa Logam London (LME), Dubai dan juga China. Pada tahun 2009 misalnya, jumlah dagangan emas fizikal peringkat global mencecah US$150 bilion. Itu tidak lagi termasuk dagangan kontrak derivatif (atas kertas) yang dijalankan di New York, London, Singapura dan Hong Kong pula mencecah US$25.1 trilion pada tahun 2010.

Dagangan ini terus meningkat sehingga kini apabila bank-bank pusat seluruh dunia juga telah membeli emas sebagai simpanan rizab mereka selain matawang asing. Ironinya, semakin meningkatnya tahap komersialisasi emas di dalam pasaran yang dikuasai oleh golongan spekulator ini, nilai harga emas semakin menjadi tidak stabil dan terdedah kepada sasaran spekulasi melampau. Jika dilihat sejak 10 tahun lalu, harga emas didagangkan dalam julat yang sangat luas. Pada tahun 2005 misalnya, emas didagangkan pada harga US$250 per ouns sahaja tetapi telah melambung kepada US$1600 per ouns penghujung tahun 2012. Keadaan sangat jauh berbeza jika dilihat pada tahun 1980 hingga 1990 dimana harga emas stabil pada paras US$300 per ouns sahaja. Jelas disini dapat dilihat pergerakan harga melampau ini bukan disebabkan oleh faktor tawaran dan permintaan tetapi spekulasi yang berleluasa di dalam pasaran komoditi emas seluruh dunia. Keadaan ini sangat berbahaya bagi pelabur yang bermodal kecil kerana pergerakan harga emas ketika ini hampir menyamai sifat pergerakan harga saham yang terdedah kepada turun naik melampau.

 Tiada Pulangan Dividen Pakar dan juga pedagang komoditi terkenal seperti Jim Rogers menjelaskan walaupun ketika ini emas berada sekitar US$1600 per ouns sejak tahun 2011 lagi, harga akan jatuh semua tidak lama lagi atas faktor spekulasi. Selain itu, emas juga sebenarnya tidak mampu menjadi pelindung kepada krisis ekonomi. Pada krisis yang berlaku pada 1968, 1978, 1998 dan 2008 misalnya, nilai emas bergerak pada harga menurun seiring dengan kemuraman ekonomi pada waktu itu. Keadaan ini secara automatik akan meningkatkan risiko pelaburan emas itu sendiri sama seperti pelaburan dalam matawang. Justeru, dari manakah datangnya jaminan ‘keuntungan bulanan’ seperti yang seperti dijanjikan oleh ejen-ejen jualan emas tersebut? Ia sangat berbeza sekiranya pelabur melabur dalam hartanah, saham atau dana unit amanah kerana walaupun harga jatuh, pelabur tetap kan diberi pulangan berdasarkan kepada jenis pelaburan yang dilakukan. Ini termasuklah dalam ekuiti, bon dan pendapatan tetap, hartanah dan juga dana seimbang. Dana unit amanah seperti ini diuruskan dengan profesional serta mempunyai nilai aset bersih (NAV) yang boleh diukur dari semasa ke semasa.

Dimana Tempat Membeli Emas yang Sah? Terdapat dua jenis pelaburan emas yang dilihat sah disisi undang-undang dalam negara ini. Pertama ialah melalui pembelian fizikal emas melalui bank-bank tempatan atau membeli barangan kemas secara terus di kedai emas. Maybank, CIMB dan Kuwait Finance House (KFH) misalnya menawarkan akaun emas bagi membolehkan pelabur membeli emas pada harga semasa dan mengkreditkannya melalui buku (passbook) sebagai rekod. Jika pelabur memilih mengambil risiko dengan memegang dalam bentuk emas fizikal, mereka boleh pergi ke cawangan khas bank tersebut untuk mengambil emas fizikal tersebut untuk disimpan. Cara ini dilihat lebih telus, teratur dan dijamin selamat kerana pihak pelabur tidak perlu melalui ejen-ejen individu yang sememangnya tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa. Bagi pelabur yang enggan memegang emas fizikal, mereka boleh membuat pelaburan pasif melalui platform pelaburan unit amanah, dana dagangan bursa (ETF) atau pembelian secara terus saham syarikat industri emas yang tersenarai di bursa saham. Ketika ini kebanyakan firma pengurusan unit amanah menawarkan produk dana unit amanah berasaskan komoditi emas atau precious metal yang lain. Dengan wujudnya dana ini, pengurus unit amanah tersebut akan membeli saham syarikat yang menjalankan perniagaan berkaitan perlombongan dan peleburan emas seluruh dunia.

Kebanyakan syarikat seperti ini berpengkalan di Amerika Syarikat, Australia dan Afrika Selatan. Secara teorinya, sekiranya harga emas global meningkat, maka harga saham syarikat ini juga akan meningkat. Keadaan ini sekaligus akan memberi faedah kepada pelabur dana unit amanah ini dalam bentuk peningkatan harga unit tersebut. Maka dapat disimpulkan disini bahawa pandangan yang mengatakan harga emas sentiasa ‘stabil’ dan ‘meningkat’ adalah satu mitos. Nilai harga emas kini ditentukan oleh spekulator dan bukannya pada penawaran dan permintaan semulajadi dalam pasaran. Maka, ketegasan pihak berkuasa dalam membendung aktiviti pelaburan haram ini juga harus disokong demi menjaga integriti industri pelaburan tempatan. Selain itu, para pelabur juga perlu diberi pengetahuan tentang ilmu pelaburan agar mereka tidak terjerat dalam pelaburan haram seperti ini.

 Penulis adalah bekas wartawan dan pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2008. Kini menjadi felo Biasiswazah Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi Penerbitan di Universiti Malaya.