Monday, May 12, 2008

Syabas MIHAS tapi...


Pameran Halal Antarabangsa Malaysia MIHAS 2008 baru saja berlalu dengan mencatat beberapa kejayaan dalam lanskap pembangunan industri halal negara ini. Saya sempat berkunjung ke ekspo halal terbesar dunia ini semasa pelancarannya tempohari di Matrade. Pun begitu, seperkara yang terlintas sdalam fikiran saya ialah, tak dapat dinafikan keadaan masih sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Pelbagai andaian terlintas dalam fikiran sepanjang sejam menghabiskan masa melawat gerai disitu. Banyak juga produk baru dan lama yang menarik daripada makanan sehinggalah kepada produk kewangan. Saya juga turut dihampiri oleh usahawan dari timur tengah yang menawarkan kepada saya untuk mencuba produk kurma dan kismisnya. Khabarnya ia dituai dari sebuah kawasan pedalaman dinegara terbabit dan semestinya halal dan mempunyai kualiti tinggi. Terfikir juga dalam fikiran, adakah kurma atau kismis yang tidak halal?

Tak dinafikan, rasanya tak banyak bezanya antara Mihas dengan ekspo perdagangan biasa yang berlangsung sebelum ini. Masakan tidak, sukar untuk membezakan antara pameran khusus untuk barangan halal, dengan pameran oleh usahawan yang sekadar ingin mempromosikan produk-produk terbaru mereka.

Tak kurang juga ada syarikat pengeluar barangan pengguna yang sudah 'well known' dikalangan pengguna Islam negara ini turut menyertai pameran itu. Maka apa relevannya syarikat yang produknya banyak mendominasi dalam rumah-rumah kita turut menyertai pameran ini. Seperti yang saya katakan tadi...ia akhirnya seperti sekadar pameran perdagangan biasa!

Pihak penganjur seharusnya lebih peka dalam memastikan agar Mihas ada kelainan berbanding ekspo perdagangan biasa yang lain. Mungkin dari segi pemilihan syarikat yang berhasrat menyertai pameran, ia kena mengetatkan prosedur agar syarikat yang benar-benar layak sahaja boleh menyertai pameran ini.

Adalah lebih menarik jika pihak Mihas dapat memfokuskan produk dari luar yang halal tetapi tidak diketahui dikalangan komuniti muslim negara ini atau negara luar. Contoh syarikat pengeluar makanan tradisional dari negara bukan Islam. Mungkin ramai yang ingin tahu bagaimana nak mendapatkan makanan Korea seperti kimchi yang halal, atau coklat premium dari Eropah yang bebas alkohol. Atau mungkin juga produk saham amanah berlandaskan syariah dari Afrika Selatan, dan produk kosmetik berasaskan haiwan tetapi halal yang berasal dari Rusia.

Barangan seperti ini dilihat lebih menarik dan boleh mencuri tumpuan pengunjung berbanding sekadar mengetengahkan barangan dari usahawan Malaysia untuk orang Malaysia. Diharapkan pihak berwajib mengambil inisiatif agar Mihas dapat 'diantarabangsakan' seperti mana ekspo yang sama dianjurkan oleh negara jiran.

Jika ini dapat dilaksanakan, barulah konsep Halal Exchange atau World Halal Exchange dapat direalisasikan. Masyarakat dunia khususnya bukan Islam akan menjadikan Mihas sebagai rujukan mereka untuk menembusi pasaran negara Islam dimasa akan datang.

Penulis: Tunggu Mihas buat pameran ikan air tawar. Pihak PPIM mendedahkan khabarnya ikan keli dan patin Malaysia dapat sumber makanan tidak halal ketika diternak didalam sangkar.