Monday, May 19, 2008

Dr. M keluar UMNO dipandang sepi pelabur


Pasaran kewangan Asia hari ini dihiasi dua peristiwa politik yang melibatkan kepimpinan. Pagi tadi, agensi berita antarabangsa seperti CNBC dan Bloomberg tidak putus-putus menyiarkan berita berkenaan perlantikan Ma Ying Jieou sebagai presiden baru Taiwan dan perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai ahli UMNO.

Cuma yang menarik perhatian saya ialah reaksi peserta pasaran kewangan hari ini kelihatan berlawanan daripada ada yang dijangka kebanyakan penganalisis. Ditengah-tengah ketidaktentuan politik pasca PRU 12 lalu belum menunjukkan tanda berkesudahan, pasaran saham Malaysia langsung tidak menunjukkan tanda panik diawal pembukaan dagangan pagi tadi.

Ia bertentangan dengan kenyataan seorang penganalisis dari Hong Kong menjangkakan Indeks Komposit KL (KLCI) akan menjunam tetapi nampaknya, pasaran bergerak sebaliknya- seolah-olah tiada apa yang berlaku. Pada pukul 9.30 pagi tadi, KLCI bergerak pada jajaran tenang sekitar 1,302 mata- meningkat lingkungan 2 mata. Akan tetapi, nilai ringgit pada pagi tadi dibuka susut mendadak dari RM3.23 kepada RM3.25.

Perletakan jawatan Dr.M, walaupun kini sudah tidak memegang tampuk pemerintahan, mampu memberikan kesan negatif kepada pasaran. Walaupun kesannya tidak dapat dilihat ketika ini, namun dalam jangkamasa panjang, soal kestabilan UMNO yang kini semakin lemah dan mungkin boleh tersungkur, sekaligus bakal mengancam survival kerajaan Barisan Nasional keseluruhannya yang kini berusia dua bulan lebih ini.

Dari segi moralnya, tindakan Dr.M ini juga boleh disifatkan sebagai undi tidak percaya terbesar yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri kepada Perdana Menteri ketika ini. Dengan kepimpinan, reputasi dan populariti Dr.M yang masih kukuh, tidak mustahil akan ada ahli parlimen BN yang akan keluar dari BN beramai-ramai- sekaligus menumbangkan kerajaan BN hasil manifestasi mereka yang kecewa dengan pemerintahan Datuk Seri Abdullah ketika ini.

Menyentuh mengenai reaksi pasaran pula, sukar untuk kita menentukannya kerana pergerakan pasaran saham kita sebenarnya dikawal oleh pemain-pemain utama institusi berkaitan kerajaan. Ini kerana, 70 peratus dagangan harian Bursa Malaysia dikuasai pelabur tempatan. Mereka seperti KWSP, PNB, Tabung Haji, KWAP, Valuecap dan beberapa lagi sentiasa aktif dipasaran dengan harapan menyerap sebarang kejatuhan yang bakal berlaku seperti yang pernah dilakukan pada krisis ekonomi tahun 1998 lalu. Kerana faktor inilah ada yang beranggapan nilai pasaran saham Malaysia sentiasa dimanipulasi dan tidak menunjukkan nilai sebenarnya.

Entah apa akan berlaku lagi dalam tempoh-tempoh mendatang. Sebarang senario yang berlaku pasti akan memberikan kesan kepada pasaran modal negara. Namun secara keseluruhannya, disebabkan ekonomi Malaysia lebih berorientasikan domestik, maka sebarang kejutan boleh diserap dengan baik. Pasaran saham dan matawang pasti akan bergerak turun naik mencerminkan sentimen pemain pasaran.

Penulis: Demi kestabilan politik yang pasti, perlukah pilihanraya dilakukan semula?