Wednesday, June 4, 2008

Kenaikan Harga Barang Komoditi Dunia ANGKARA SIAPA?


AWAL tahun lalu, ramai kalangan pakar kaji bintang sibuk mencanang kepada semua yang tahun 2008 menjadi tahun pemulihan krisis ekonomi yang bermula sejak 12 bulan yang lalu. Dalam bahasa yang sedap didengar, tahun 2008 bakal menjanjikan kegembiraan kepada semua. Pun begitu, ramalan nampaknya hanya tinggal ramalan. Belum pun ‘bencana’ ekonomi yang melanda Amerika Syarikat, serta kenaikan harga minyak global menunjukkan pemulihan yang pasti, satu lagi krisis secara tiba-tiba tercetus yang melibatkan makanan dan telah memberikan kesan serius kepada masyarakat sejagat.

Berita berkenaan kenaikan minyak, barang-barang makanan seringkali menjadi tajuk utama media. Tak kurang juga apabila ada barang khususnya makanan bukan setakat naik harganya, tetapi sampai ke tahap tiada atau kurang bekalannya didalam pasaran akibat belian panik atau perbuatan sorok. Lebih buruk lagi apabila ada kerajaan sesetengah negara hampir tersungkur hasil manifestasi kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga beras dan makanan asasi lain.

Lantas permainan tuding menuding jari antara pemimpin dunia berlaku. Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush menjadi orang pertama yang mengkritik secara terbuka terhadap negara China dan India. Sambil mendakwa rakyat dikedua negara ini sebagai suka bermewah dan membazir makanan, tindakan negara ini yang menyekat eksport bahan makanan seperti padi dan gandum juga telah menyumbang kepada peningkatan harga barangan ini seluruh dunia. Tak cukup dengan itu, akibat pertumbuhan ekonomi yang mendadak, kedua-dua negara ini juga menjadi sasaran tohmahan masyarakat dunia kerana dikatakan menjadi punca kepada kenaikan mendadak komoditi global termasuklah minyak.

Terlalu banyak faktor dapat dilihat kenapa dan mengapa satu persatu bencana ekonomi muncul semakin kerap berlaku dalam tempoh kebelakangan. Persoalannya disini ialah; adakah krisis kenaikan harga komoditi seperti minyak dan makanan ini benar-benar berpunca dari wujudnya kekurangan bekalan dalam pasaran?

Pelbagai alasan dapat didengar. Ada yang mengatakan masalah ketidaktentuan cuaca global, permintaan melampau, pengeluaran biofuel, penurunan dolar, bencana sehinggalah kepada perbuatan sorok barang dikatakan menjadi punca ketidakseimbangan sumber bekalan sumber makanan didalam pasaran- sekali gus menyumbang kepada kenaikan tidak terkawal harga barangan tersebut.

Dalam dunia kapitalis, semua barangan termasuklah komoditi ditentukan harganya melalui kuasa pasaran. Manakala kuasa pasaran pula bergantung kepada penawaran dan permintaan terhadap barangan tersebut. Ketika ini, komoditi seperti minyak, beras, kacang soya dan pelbagai lagi didagangkan di peringkat global melalui pasaran berpengaruh yang berpusat di barat seperti Chicago Board of Trade (CBoT) dan New York Merchantile Exchange (NYMEX) di Amerika Syarikat dan Intercontinental Commodity Exchange (ICE) di Eropah. Di Malaysia, pasaran hadapan (Bursa Malaysia Derivatives) yang mendagangkan minyak sawit mentah juga didagangkan aktif setiap hari dan menjadi harga rujukan peringkat global bagi minyak sawit.

Pun begitu, CBoT, NYMEX dan ICE bukanlah pasaran bagi yang mendagangkan barangan komoditi ini secara fizikal. Ia hanya sekadar pasaran hadapan (futures market). Dalam dunia pelaburan, pasaran harapan sangat penting kepada para pedagang komoditi, pengurus dana, dan pihak bank untuk membolehkan mereka menguruskan perbelanjaan operasi serta melindungi kerugian akibat kesan turun naik harga komoditi terbabit. Syarikat penerbangan seluruh dunia akan menggunakan pasaran hadapan untuk melindungi harga minyak untuk pesawat mereka, manakala firma pembuat bahan mentah makanan seperti tepung juga menggunakan pasaran hadapan bagi melindungi kesan turun naik harga gandum dan beras.

Spekulator komoditi

Jelas disini betapa besar dan berpengaruhnya peranan pasaran komoditi kepada masyarakat sejagat. Secara langsungnya juga, pasaran yang menjual bahan-bahan asasi keperluan manusia sejagat ini juga terdedah kepada mainan kalangan pihak spekulator yang bertanggungjawab menggerakkan harga komoditi dipasaran ini dan bukannya pembeli dan penjual yang sebenar. Lihat saja apa yang berlaku ketika krisis mawatang 10 tahun lalu, spekulator telah menjadi penyumbang terbesar kejatuhan besar matawang serantau dan bukannya disebabkan oleh pihak pengeksport atau pengimport yang banyak menggunakan matawang untuk berdagang dan juga para pelabur.

Spekulator komoditi yang kebiasaannya wujud dalam bentuk berkumpulan seperti dana lindung nilai (hedge fund), broker komoditi, institusi kewangan malah firma pengeluar minyak sendiri kini mendominasi pasaran hadapan komoditi, saham dan pasaran wang seluruh dunia. Mereka akan mengaut keuntungan hasil ketidaktentuan geopolitik global atau ketidakseimbangan pasaran yang mendorong kepada kenaikan sesuatu harga komoditi. Bukan setakat spekulator yang mampu mengaut keuntungan berbilion dolar hasil urusniaga ini, tetapi manipulasi terhadap harga komoditi juga telah memberi durian runtuh kepada syarikat pengeluar bahan komoditi itu sendiri.

Malah mereka yang kebanyakannya berpangkalan di negara-negara maju telah mengaut keuntungan berkali ganda ekoran kenaikan harga minyak dan lain-lain komoditi ketika ini. Inilah yang menjadi punca kenapa harga minyak global ketika ini masih belum menunjukkan tanda ia akan menurun. Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak (OPEC) yang ketika ini berhempas pulas membendung kenaikan ini dengan menambah jumlah bekalan minyak dalam pasaran terus menyaksikan harganya melonjak mencecah AS$130 setong berbanding AS$40 dolar beberapa tahun lalu.

Setelah lebih setahun bermaharaja lela didalam pasaran komoditi minyak, golongan itu kini mula beralih pula kepada komoditi lain seperti beras, emas dan besi keluli dan beberapa komoditi lain pula.

Komoditi seperti beras yang didagangkan stabil selama berpuluh tahun lalu kini tersentap akibat kenaikan yang melampau. Sehingga rencana ini ditulis, ia telah mencecah sehingga 75 peratus sejak awal tahun lalu hasil aktiviti spekulasi melampau dipasaran CBoT, Amerika Syarikat. Ketika ini hanya 30 juta tan metrik beras dieksport oleh negara seperti Vietnam dan Thailand. .

Malangnya, bagi negara-negara miskin seperti Filipina dan Haiti dan Bangladesh, bahangnya semakin mencengkam apabila kebanyakan negara pengeluar menyekat eksport beras ke negara ini. Situasi yang semakin panik ini sebaliknya menjadi ‘bonus’ buat spekulator untuk terus memburukkan lagi keadaan dengan terus menolak naik harga. Kini bukan setakat harga beras, lain-lain bijirin seperti jagung, gandum dan kacang soya mencecah rekod tertinggi dalam sejarah. Keadaan ini telah mendorong pihak Suruhanjaya Perdagangan Komoditi Amerika Syarikat CFTC menjalankan siasatan sejak Mac lalu untuk melihat peranan kumpulan spekulator ini disebalik keadaan yang dipanggil sebagai food inflation ini.

Tekanan ini timbul setelah mereka sedar pergerakan harga komoditi pertanian (jagung, kapas, kacang soya) ketika ini bukan disebabkan oleh pedagang tradisional barangan ini tetapi akibat kemasukan pelabur institusi yang sofistikated. Mereka tidak membeli produk secara fizikal tetapi memegang sekadar resit atau kontrak komoditi terbabit dengan harapan menjualnya pada harga tinggi untuk mendapatkan untung atas kertas (paper gains). Golongan ini telah dikenalpasti menjadi punca huru-hara pasaran komoditi ketika ini.

Kini kita sedang melihat bagaimana negara seluruh dunia menangani krisis makanan ini. Itulah realiti tersirat wujud disebalik episod tuding-menuding jari dalam usaha merumuskan jalan penyelesaian. Maka tidak salah jika mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang secara terbuka menyifatkan spekulator sebagai ‘penyangak’ yang mencuri harta kekayaan sesebuah negara secara terbuka dan profesional.

Cuma yang menghairankan, disebalik kuasa spekulator ini, kenapa masih ada negara pengeluar barangan komoditi dunia (Indochina, Afrika) juga terjerumus kekancah kegawatan apatah lagi kemiskinan? Mungkin ada persamaan dengan situasi berlaku dinegara ini. Walaupun Padiberas Nasional (Bernas) didakwa memonopoli pengedaran beras negara, ia kelihatan masih ‘bermasalah’ sehingga kini. Dimana silapnya?