Tuesday, June 17, 2008

Petronas untung tapi...


Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican akhirnya tampil memberikan penjelasan berkenaan kedudukan Petronas dalam krisis kenaikan harga minyak ketika ini. Cuma saya sedikit terkilan kerana sepanjang sejam saya meneliti isi dan huraian yang dinyatakan oleh beliau, ada persoalan yang berjaya ‘diulas’ (bukan dijawab) dengan baik. Selebihnya itu seolah menceritakan kejayaan Petronas disana-sini dan perancangan Petronas dimasa akan datang.

Kelihatan disitu masih ada persoalan pokok yang tidak terjawab sampai sekarang. (Mungkin juga rakyat inginkan jawapannya). Apakah peranan Petronas yang boleh dimainkan untuk membantu rakyat ditengah-tengah krisis yang berlaku ketika ini?

Saya juga tertarik dengan kenyataan beliau bahawa sejak penubuhan Akta Pembangunan Petroleum 1974, sejumlah RM350 bilion berjaya dipulangkan semula kepada pihak kerajaan dalam bentuk cukai, royalti dan juga dividen. Mungkin susah bagi Petronas untuk menjelaskan apakah yang telah dibuat oleh pihak kerajaan dengan duit sebanyak itu. Diharapkan dimasa akan datang lebih manis jika pihak kerajaan pula akan tampil memberikan penjelasan berkenaan isu ini.

Tan Sri Hassan juga menjelaskan walaupun harga minyak global naik, syarikat minyak utama dunia seperti Petronas gagal memperoleh keuntungan maksimum disebabkan kenaikan kos pengeluaran dan carigali. Maka persoalan yang timbul ialah, adakah syarikat-syarikat kontraktor yang terlibat dalam industri carigali mengaut untung lebih besar? Syarikat-syarikat ini termasuklah yang terlibat aktif dalam pembangunan fabrikasi pelantar, penggerudian dan carigali sehinggalah kepada perkhidmatan lojistik.

Saya tidak mahu melihat dari sudut politik tetapi saya merasakan pihak kerajaan perlu mengambil serius berkenaan isu ini. Apatah lagi berdasarkan keputusan kewangan syarikat kontraktor yang terlibat dalam industri minyak dan gas negara yang tersenarai di Bursa Malaysia kebelakangan ini, majoritinya sangat memberangsangkan.

Scomi Group Berhad, Kencana Petroleum, Ramunia, Petra Perdana dan SapuraCrest Petroleum adalah antara nama besar yang berkecimpung dalam industri ini, mencatat keuntungan besar sejak tahun 2006 lalu ekoran kenaikan harga minyak. Malah ramai penganalisis antarabangsa melihat Malaysia adalah negara yang memiliki syarikat yang terlibat dalam minyak dan gas terbesar selain Norway dan beberapa buah negara lain.

Justeru, seharusnya kerajaan mengenakan cukai (windfall tax) kepada syarikat minyak dan gas ini pula. Ia sama seperti yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak Mei lalu kepada syarikat perladangan kelapa sawit ekoran kenaikan harga minyak sawit dunia ketika ini. Sudah tiba masanya ketika mereka ghairah menambah kontrak dalam dan luar negara yang bernilai berbilion ringgit itu, memulangkan semula keuntungan mereka dalam bentuk cukai sama seperti yang dilakukan Petronas dan syarikat perladangan.

Dapat disimpulkan, Petronas tidak seharusnya dijadikan kambing hitam dalam krisis ini. Jika dilihat lebih mendalam, ada pihak lain yang lebih banyak menerima manfaat secara langsung dan tak langsung. Jika kita tak melihat secara terus kepada 'nama' syarikat itu, sukar untuk kita mengenalpasti penglibatan mereka dalam industri ini sukar difahami kerana melibatkan urusan teknikal. Memang Petronas mencatat untung tapi ada pihak lain yang lebih untung!

Penulis: Ada Petronas susah, tak ada Petronas pun susah