Wednesday, June 4, 2008

Minyak di Pasaran Malaysia Naik, Minyak di Pasaran Global Menjunam?

Hari ini menyediakan banyak 'peristiwa' baru buat saya. Seawal hendak ke tempat kerja, stesen-stesen minyak yang sebelum ini dipenuhi kenderaan setiap pagi untuk mengisi minyak tiba-tiba lengang tanpa pelanggan. Jika biasa saya mengisi minyak sebanyak RM40, tetapi kali ini terpaksa menambah sebanyak RM10 lagi agar kantung minyak kereta benar-benar berisi. Selepas itu, saya singgah sebentar ke kedai runcit untuk membeli akhbar, malangnya semuanya telah habis dijual termasuklah akhbar bertaraf 'lalat' sekalipun.

Ketika hendak membeli makanan di sebuah gerai yang biasa saya beli setiap hari pula, rasa sedikit teruja. Bukan kerana cik adik penjual nasi kelahiran Thai itu memakai gincu bibir, harga makanan yang dibeli setiap hari kebiasannya adalah RM4.50 sahaja, tetapi kali ini ia naik kepada RM5.00 walaupun mengambil jenis lauk yang sama setiap hari. Dek kerana mendapat pujian daripada saya, dapat juga 'diskaun' 20 sen.

Entah kenapa hari ini menjadi hari malang bagi saya walaupun baru pukul 10.00 pagi. Seingat saya sebelum melelapkan mata malam tadi, saya memohon kepada yang Maha Pencipta agar hari esok menjadi hari terbaik berbanding hari-hari sebelumnya. Itulah doa biasa yang diamalkan sebelum tidur. Namun itulah takdir. Realitinya, itulah penangan terhebat hasil kenaikan harga minyak yang baru diumumkan beberapa jam lalu. Dek kerana emas hitam ini, saya rasa seolah-olah berada di dunia yang bukan bernama Malaysia, dan apa yang lalu didepan mata semacam suatu yang baru.

Namun seperkara yang menarik dalam fikiran saya ialah, ketika kebanyakan akhbar tempatan 'mempromosikan' harga minyak terbaru dimuka hadapan masing-masing, agensi media asing khususnya yang berkaitan perniagaan pula menceritakan sebaliknya. 'Harga Minyak Global Menjunam'. Itulah yang ditonjolkan dikebanyakan agensi akhbar asing didalam laman web masing-masing. Ironinya, ditengah-tengah kedukaan rakyat Malaysia terpaksa menerima takdir ini, harga minyak global semakin tertekan dan semakin menjunam.

Jika dua minggu lalu, harga minyak yang didagangkan di pasaran New York Merchantile Exchange (Nymex) mencecah tahap tertinggi iaitu AS$135 setong, harga bahan api tersebut menjunam sekitar AS$120 setong sahaja ketika artikel ini ditulis. Penganalisis komoditi juga menjangkakan akan berlaku lebih banyak lagi penurunan jangka panjang ekoran stok bekalan minyak global ketika ini sudah mencapai tahap mencukupi. Faktor-faktor lain juga termasuk;

1) Harga minyak akan terus menurun hasil pengukuhan nilai dolar AS berbanding matawang utama dunia lain termasuklah RM. Jika sebelum ini dolar AS lemah menjadikannya murah dan mudah menjadi sasaran spekulator luar negara. Kini, nilai dolar AS yang semakin mengukuh menjadikan matawang itu lebih 'mahal' dan mengurangkan kemasukan dana spekulasi kedalam pasaran komoditi termasuklah pasaran minyak.

2) Suruhanjaya Perdagangan Komoditi Amerika Syarikat (CFTC) kini sedang menyiasat wujudnya aktiviti spekulasi dalam pasaran komoditi negara itu yang menyebabkan harga minyak melambung tak terkawal kebelakangan ini. CFTC percaya sebahagian besar dagangan di bursa komoditi seluruh AS ketika ini bukan disebabkan oleh pedagang komoditi sebenar, sebaliknya hasil permainan pelabur sofistikated seperti spekulator. Akibatnya, ramai spekulator dipasaran minyak telah mula menjual pegangan mereka ekoran takut diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

3) Amerika Syarikat-pengguna minyak terbesar dunia melaporkan jumlah simpanan minyak negara itu melebihi tahap daripada mencukupi. Ditambah dengan pengeluaran minyak di Asia Barat yang kini mencecah tahap tertinggi, maka potensi untuk menyaksikan harga minyak terus tersungkur semakin meningkat.

Maka, persoalan yang timbul ditengah-tengah huru-hara ini ialah, apakah tindakan seterusnya yang bakal diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani isu ini. Saya juga melihat beberapa keputusan yang dilakukan berkaitan kenaikan dan kawalan harga barang yang diperkenalkan oleh kerajaan kebelakangan ini agak 'terlewat' dan banyak berasaskan sentimen.

Antaranya seperti keputusan kerajaan untuk mengimport beras dari Thailand beberapa minggu lalu. Akibat rasa panik, kita telah membeli 500 ribu tan beras dari negara jiran ini dengan harga tertinggi iaitu sekitar AS$1000 setan. Malangnya apabila transaksi tersebut selesai dilakukan, harga beras dipasaran dunia tiba-tiba menjunam mencecah sekitar AS$900 setan dan kini semakin menurun lagi.

Entah apa lagi yang bakal berlaku selepas ini. Tapi yang pasti suka atau tidak, dalam dunia kapitalis yang menyerahkan bulat-bulat kepada kuasa pasaran untuk menentukan harga sesuatu barang keperluan, kita terpaksa menelan walaupun pahit. Selain itu, Malaysia adalah negara terkini selepas Taiwan, Korea Selatan, India dan beberapa buah negara Asia yang lain menaikkan harga minyak. Risiko pasti yang akan kita hadapi selepas ini ialah inflasi yang boleh menghilangkan kuasa beli kita dalam jangkamasa panjang. Harga barangan lain juga pasti akan meningkat akibat kesan domino. Bukan itu sahaja, pasaran saham kita juga menjunam lebih 40 mata diawal dagangan pagi tadi selain nilai RM yang susut drastik.

Saya terfikir entah macam mana hidup orang-orang susah yang tinggal di kampung. Mungkin ada kalangan mereka yang menaiki motor kapcai untuk ke kebun atau masjid yang tidak mempunyai cukai jalan atau insuran. Makanya mereka terpaksa juga menelan bebanan 78 sen kenaikan harga minyak ini tanpa mendapat sebarang pembelaan.

Penulis: Kerajaan berjanji akan 'memantau' kenaikan harga barang. Berdasarkan pengalaman silam, apa saja barang yang 'dipantau' kebanyakannya akan berakhir dengan kenaikan harga. Bukannya berjaya diturunkan.