Monday, June 9, 2008

Harga Minyak Tetap Akan Turun


Ramai yang memberi maklumbalas mengenai hipotesis dan teori yang saya tulis berkaitan isu kenaikan harga minyak sebelum ini- berlawanan daripada daripada realiti yang berlaku dalam pasaran. Mereka menganggap saya silap berdasarkan harga minyak ketika ini langsung tak menunjukkan tanda ia akan turun semula.

Akan tetapi, saya tetap dengan pendirian bahawa kenaikan harga minyak dunia ketika ini bukanlah suatu yang genuine atau dalam erti kata lain- tidak berasaskan permintaan dan penawaran dalam pasaran. Saya berkeyakinan apa yang berlaku ini adalah berpunca daripada mainan spekulator, dana lindung nilai dan pelabur sofistikated yang bermaharajalela dalam pasaran komoditi seluruh dunia dari Chicago, Mumbai sehinggalah ke Dalian di China.

Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi beberapa hari lalu yang menjelaskan kenaikan harga minyak ketika ini langsung tidak mencerminkan permintaan sebenar dalam pasaran. Setiap hari negara di Asia Barat dan anggota OPEC yang lain membekalkan jutaan tong minyak untuk keperluan dunia- lebih daripada mencukupi. Malangnya disebabkan rotational playing yang dilakukan oleh spekulator, harga minyak terus melonjak dan tidak lagi berasaskan fundamental sebenar.

Maka tak hairanlah apabila Suruhanjaya Perdagangan Komoditi AS (CFTC) bersetuju untuk menyiasat setiap urusniaga yang dijalankan dipasaran komoditi dinegara itu. Ia perlu dilakukan bagi mengesahkan andaian bahawa pergerakan harga komoditi ketika ini bukan disebabkan oleh pedagang barangan komoditi, sebaliknya berpunca daripada pelabur sofistikated tersebut.

Justeru, tak hairanlah jika suara-suara yang mahukan dagangan komoditi ini diharamkan sebagaimana negara Jepun yang mengharamkan dagangan beras dipasaran komoditi negara itu semakin jelas kedengaran. Dalam dunia kapitalis ketika ini, kuasa untuk menentukan harga kelihatan sudah berpindah tangan daripada 'pedagang' kepada 'penyangak' yang hanya mementingkan keuntungan kantung sendiri.

Saya bukanlah seorang penganalisis yang boleh membaca secara tepat tentang selok-belok pasaran. Tetapi tidak sukar bagi saya untuk membaca emosi dan tingkahlaku seseorang pelabur sebelum dan selepas mereka membuat pelaburan kerana saya juga pernah bergelar pelabur. Manusia tidak akan 'ghairah' untuk melakukan sesuatu untuk jangkamasa panjang kerana ia melibatkan wang.

Sampai masanya mereka tetap akan menarik semula pelaburan yang dilakukan untuk menikmati keuntungannya (profit taking). Penganalisis komoditi dari firma Lehman Brothers juga menjangkakan harga minyak dan lain-lain komoditi logam (precious metal) seperti emas, perak dan platinum akan jatuh semula menjelang musim panas nanti. Sedari atau tidak, krisis kenaikan harga minyak ketika ini sama seperti yang berlaku ketika tahun 1987 lalu yang telah merencat ekonomi global, tetapi ia pulih tidak lama selepas itu. Dapat disimpulkan, ia bersifat sementara.

Penulis: Minyak sudah mahal, ramai mat rempit mula mengeluh kerana kos 'merempit' sudah mula meningkat.