Wednesday, May 14, 2008

Perang mulut AirAsia vs MAS sekadar propaganda?


Adakah mereka ini betul-betul berkrisis? Itulah persoalan yang timbul dalam fikiran saya kebelakangan ini apabila merujuk kepada kedua-dua syarikat penerbangan negara ini. Perang mulut antara orang kuat MAS dan AirAsia dilihat semakin panas ekoran tuduh menuduh antara satu sama lain, berkaitan strategi pasaran masing-masing. Baru-baru ini MAS secara mengejut melancarkan kempen agresif memperkenalkan tambang murah serendah RM0.00 sehala ke destinasi terpilih tempatan dan Asean.

Awalnya bos AirAsia sekadar melenting tetapi perang mulut kini ia semakin panas apabila Tony Fernandez mencabar bos MAS untuk berdebat secara terbuka tentang dakwaan AirAsia yang pihak MAS 'menciplak' strategi pemasaran syarikat tambang murah terbesar Asia ini. Tony mendakwa stategi iklan tambang murah MAS(penggunaan warna dan pakej) hampir menyamai strategi yang diamalkan oleh AirAsia sejak sekian lama. Bertambah panas lagi apabila pihak TV3 bersedia untuk menyiarkan secara langsung perdebatan antara kedua-dua orang kuat syarikat penerbangan ini. Persoalannya, adakah senario ini dirancang?

Saya tak mahu membincangkan kewajaran perang mulut ini, tetapi ia sedikit menjengkelkan apabila pihak TV3 pula menawarkan diri memberikan publisiti luar biasa tentang isu ini. Apatah lagi ia juga mendapat slot terawal didalam Buletin Utama baru-baru ini, sedangkan berita bencana gempa bumi di Sichuan, China dilihat lebih penting berbanding 'perang mulut' yang seakan dirancang ini. Apa yang pasti, seperti yang dinyatakan oleh beberapa pakar komunikasi iaitu Argenti dalam bukunya The Power of Public Relations, dalam istilah komunikasi massa, perang mulut juga adalah salah satu strategi pemasaran terbaik bagi menarik perhatian audien.

Hasil perang mulut ini, secara tersirat ia dapat dilihat menguntungkan kedua-dua pihak untuk syarikat dan juga individu. Pihak AirAsia mendakwa ia berjaya menerima tempias hasil iklan ini melalui ciri-ciri iklan MAS yang seakan menyamai iklannya, manakala pihak MAS berjaya memberikan tambang murah dengan servis bertaraf 5 bintang selain menaikkan imej bosnya- Datuk Idris Jala yang sebelum ini bersikap 'media shy'. Penyertaan pihak TV3 yang sering mendapat kontrak iklan AirAsia dan MAS ini juga secara langsung memberikan mereka publisiti mudah kepada kedua-dua pihak. Selebihnya fikir-fikirkanlah sendiri...

Ironinya, akibat perang harga ini juga telah menyaksikan harga saham kedua-dua syarikat ini jatuh ke paras terendah. Saham AirAsia mencecah RM1.20 sesaham- paras terendah sejak ia disenaraikan dua tahun lalu, manakala saham MAS jatuh ke paras RM3.80- paras terendah sejak tempoh dua minggu lalu. Semestinya pelabur takut untuk memegang saham syarikat ini kerana perang harga tiket berpotensi menyebabkan margin syarikat akan jatuh teruk selain harga minyak global yang semakin meningkat naik.

Penulis: Tak susah nak bezakan antara sengaja dengan tak sengaja