Wednesday, May 7, 2008

Beras Oh Bernas!


Akhbar Berita Harian hari ini menjelaskan syarikat pengeluar beras tunggal negara Padiberas Nasional Berhad (Bernas) tidak mampu menambah stok penimbal beras bagi keperluan jangkamasa panjang negara, atas alasan Bernas tidak mempunyai kemampuan kewangan dan terpaksa mematuhi tanggungjawab sebagai sebuah syarikat senaraian awam.

Bagi saya, sebagai sebuah syarikat yang mempunyai tanggungjawab besar terhadap pembekalan makanan ruji negara ini, Bernas, hasil pengkorporatan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN)sepatutnya sejak awal lagi tidak perlu berstatus syarikat senaraian awam, atau dalam erti kata lain, saham Bernas kini dijual secara bebas di Bursa Malaysia. Apabila syarikat ini dimiliki oleh pelabur, maka orientasi perniagaan Bernas lebih cenderung untuk mengutamakan karenah keuntungan dan bukannya untuk memenuhi tanggungjawab sosial rakyat keseluruhannya.

Lihat saja kajian kes yang berlaku sebelum ini yang melibatkan syarikat hartanah UDA Holdings. Syarikat yang pada awalnya disenaraikan penghujung tahun 1990an ini telah diambil semula sepenuhnya oleh pihak kerajaan dua tahun lalu kerana syarikat ini memiliki banyak aset berharga, dan melibatkan kepentingan Bumiputra sekitar Kuala Lumpur. Ketika ia tersenarai, UDA Holdings berada dalam keadaan terhimpit antara memenuhi tanggungjawab kepada bumiputera atau meraih keuntungan sebanyak mungkin untuk pemegang saham.

Maka, dengan pengambilalihan yang menelan belanja RM500 juta itu, UDA Holdings telah dikeluarkan dari senarai bursa saham dan kini menjadi syarikat kerajaan sepenuhnya. Hasilnya ia dapat berbakti untuk semua bumiputera yang berniaga di premis milik syarikat ini dengan harga yang berpatutan, tanpa gangguan atau tekanan daripada pemegang-pemegang saham.

Kes yang berlaku keatas UDA Holdings ini ada persamaan dengan Bernas. Kini pemegang saham terbesar syarikat ini adalah Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari dan Wang Tak Holdings dari Hong Kong. Spekulasi tentang pengambilalihan oleh kerajaan telah timbul beberapa kali sebelum ini tetapi gagal menjadi kenyataan dan pihak kerajaan masih berdiam diri berkenaan isu ini.

Jika ini berlaku, maka kerajaan bebas menentukan hala tuju Bernas terutamanya dalam aspek pembekalan beras serta suntikan modal yang diperlukan bagi membina stok penimbal yang dicadangkan sebelum ini. Berdasarkan harga penutup semalam, jumlah modal pasaran saham Bernas kini yang bernilai RM995 juta bukanlah suatu yang besar bagi pihak kerajaan untuk mengambil alih saham syarikat ini keseluruhannya. Melainkan jika ada sebarang agenda tersembunyi dari pihak lain yang sukar untuk kita fahami.

Penulis: Kepentingan dan kebajikan rakyat perlu mengatasi segala-galanya