Wednesday, April 30, 2008

Wajarkah Saham Berharga Dibawah 10 sen Dinyahsenarai?


Saya tertarik dengan satu laporan akhbar The Star keluaran 29 April lalu menyiarkan laporan daripada pihak Bursa Saham New York (NYSE), berkenaan cadangan penyahsenaraian saham syarikat yang harganya didagangkan kurang daripada AS$1 selama 30 hari dagangan dibursa terbesar dunia itu.

Walaupun tidak ada sebarang kewajaran proses tersebut dinyatakan, cadangan yang drastik ini mendapat perhatian dari pemain pasaran tempatan, serta kewajarannya jika dilakukan didalam pasaran saham Malaysia yang masih berada dalam kategori sebagai emerging market ini.

Umumnya, ada beberapa faktor kenapa dan mengapa sesuatu saham syarikat yang tersenarai itu didagangkan pada harga dibawah RM1.00 hatta RM0.10 sekalipun. Di pasaran Bursa Malaysia misalnya, kebanyakan saham terutamanya yang didagangkan di Papan Kedua dan Papan Mesdaq didominasi oleh syarikat yang harga sahamnya seperti yang disebutkan. Tak kurang juga saham syarikat 'sakit' akibat masalah kewangan dan bakal diisyhtihar mufis.

Saham yang berharga bawah RM1.00 kebanyakan menjadi tumpuan kalangan pelabur-pelabur runcit kerana harganya kelihatan murah berbanding saham mewah yang menjadi tumpuan pelabur institusi. Malah pelabur runcit telah mendominasi dagangan harian pasaran saham negara ini sejak sekian lama. Akan tetapi, ada kalangan pelabur yang mudah beranggapan bahawa saham yang berharga bawah RM1.00 atau sekitar 10 sen ini adalah syarikat yang 'bermasalah' dan berpotensi untuk terus jatuh.

Faktor yang menyebabkan harga saham didagangkan dibawah paras RM1.00 memang pelbagai. Dalam kebanyakan kes, faktor prestasi sesebuah syarikat menjadi pertimbangan utama kenapa harga saham diniagakan pada paras yang rendah. Ketika sebelum kegawatan 1998 misalnya, harga saham konglomerat Renong Berhad diniagakan sekitar RM12 menjunam kepada sekitar 50 sen sebelum diambil alih semula pihak kerajaan.

Faktor kedua ialah terbitan bonus saham atau pemecahan nilai par sesaham (split). sebagai contoh sekiranya saham syarikat A didagangkan pada RM1.00 sebelum bonus, harganya akan turun secara automatik berasaskan nisbah saham bonus yang diberikan. Jika bonus diberikan pada asas 1 saham bonus untuk setiap 1 saham yang dipegang, maka harga saham akan diturunkan kepada RM0.50 sesaham. Begitu juga bagi pemecahan nilai par atau splitting. Jika nilai par adalah RM1.00 sesaham, dipecah kepada RM0.10, maka harga akan turun kepada RM0.10 sen tetapi pemegang saham akan mendapat lebih banyak saham hasil proses pemecahan ini.

Bagi saya, untuk menyahsenaraikan saham syarikat berharga bawah RM0.10 adalah suatu yang subjektif untuk diperdebatkan. Dalam konteks Malaysia, proses nyahsenaraian akan melibatkan syarikat yang 'sakit' atau menanggung hutang yang tinggi kebanyakannya akibat krisis ekonomi 1998. Antaranya seperti Promet Berhad, Sateras Berhad, YCS Berhad, Repco Berhad, Omega Holdings dan beberapa nama yang 'darling' kepada pelabur sebelum krisis 10 tahun lalu. Tindakan ini wajar dilakukan kerana kebanyakan syarikat ini sudah ditutup atau lumpuh untuk beroperasi dan tiada gunanya untuk sahamnya dijual kepada pelabur.

Akan tetapi, untuk menyahsenaraikan syarikat yang mempunyai harga saham sekitar 10 sen, adalah suatu yang tidak adil kerana terdapat sesetengah syarikat yang mempunyai kedudukan perniagaan yang baik tetapi mempunyai polisi harga saham yang rendah untuk menjadikan saham syarikat lebih murah dan mudah untuk dibeli oleh pelabur- sekali gus meningkatkan urusniaga harian saham syarikat ini.

Kita dapat lihat ketika saham syarikat seperti Pilecon Engineering, Wimems, Connetcounty, Pan Malaysian Industries dan Karambunai mencatatkan harga sekitar 10 sen sejak beberapa bulan lalu. Ekoran saham syarikat ini yang dijual murah, maka tak hairanlah saham ini sentiasa aktif didagangkan secara harian di pasaran saham. Malah saham syarikat gergasi Scomi Berhad juga telah mengalami proses pemecahan nilai par (daripada RM1.00 kepada 10 sen) beberapa tahun lalu. Hasilnya, saham yang didagangkan sekitar RM9.00 ketika itu telah dipecahkan kepada kepada 90 sen sahaja.

Adalah tidak wajar mengaplikasikan bulau-bulat apa yang dilakukan di NYSE dengan pasaran tempatan tanpa melakukan kajian mendalam. Di kebanyakan negara maju, harga saham kebiasaannya akan mencerminkan kualiti sesebuah syarikat. Ini bermakna jika semakin tinggi harga saham sesebuah syarikat, maka ia mencerminkan syarikat itu kukuh dan berkualiti. Maka tak hairanlah jika ada saham yang tersenarai di NYSE berharga mencecah ratusan dolar sesaham. Harga saham Google Inc misalnya kini diniagakan pada harga sekitar AS$500 sesaham, manakala firma tersenarai di Jepun dan Korea Selatan seperti Mitsubishi dan Samsung Electronics juga mempunyai polisi harga saham tinggi mencecah ratusan dolar sesaham.

Bayangkan jika Bursa Malaysia melaksanakan peraturan menyahsenaraikan saham syarikat berharga bawah RM1.00 ini. Sudah pasti Papan Mesdaq akan kehilangan hampir 90 peratus daripada kaunternya, manakala Papan Kedua juga akan kehilangan 40 peratus daripada syarikat yang tersenarai sekali gus meranapkan sekurang-kurangnya 20 peratus nilai permodalan pasaran yang ketika ini bernilai RM1 trilion.

Jika dipasaran saham AS (NYSE) yang kini bernilai AS$12 trilion (RM38 trilion), kehilangan sejumlah RM200 bilion atau malah sejumlah RM1 trilion jika proses nyahsenarai syarikat-syarikat dilakukan pun, ia masih jauh lebih kecil berbanding Malaysia. Apatah lagi NYSE sebagai sebuah bursa saham paling maju ini banyak menerima penyenaraian baru dari dalam dan luar negara dengan jumlah yang besar setiap bulan. Lebih daripada cukup untuk mengembalikan semula modal pasaran yang hilang akibat proses penyahsenaraian ini.

Penulis: Tak wajar jadi pengikut dan pak turut. Cermin diri terlebih dahulu