Tuesday, April 22, 2008

Batalkan Saja Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang


Oleh: Nazmy Sannusi


Polemik berkenaan isu pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang yang telah dicadangkan sejak tahun lalu kini nampaknya memasuki satu lagi episod terbaru. Projek yang pada awalnya menelan kos mencecah RM4.3 bilion itu kini dicadang ditangguhkan pembinaannya atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.


Projek jambatan 'indah' yang separuh pembiayaannya dibiayai hasil persetujuan kerajaan China ini sepatutnya dimulakan seawal selesai pilihanraya ke 12 lalu. Tetapi disebabkan masalah tanah, kos yang meningkat secara mendadak dan rekabentuk, akhirnya telah menjadi rencah alasan penangguhan projek dibawah Rancangan Malaysia ke Sembilan RMK9 bakal dibina didalam Koridor Utara Semenanjung ini.


Tak kurang juga dengan bantahan kalangan rakyat Pulau Pinang sendiri. Ada yang beranggapan adalah lebih baik jika wang itu disalurkan untuk projek lain yang lebih berfaedah seperti projek transit aliran ringan (LRT) di bandar sibuk seperti di Georgetown.


Saya enggan menyentuh dari sudut politik. Akan tetapi sebagai individu yang pernah tinggal di Pulau Pinang ketika menyambung pengajian di USM beberapa tahun lalu, saya berpandangan bahawa keperluan pembinaan projek ini sebenarnya boleh dikesampingkan. Apatah lagi Pulau Pinang sudah pun memiliki sebuah jambatan pertama yang selama berjaya menghubungkan masyarakat antara pulau dan tanah besar selain perkhidmatan feri.


Kesesakan? Ya tidak dinafikan kerana mengikut statistik JPJ, sejumlah 22 juta pengguna menggunakan jambatan ini setahun dengan purata 1.8 juta melaluinya sebulan. Tetapi kelihatan permasalahan ini bukanlah hanya bersandarkan kepada kuantiti kenderaan yang melalui kawasan itu. Ia juga berpunca daripada faktor teknikal.


Berdasarkan pengamatan, kesesakan kebiasaanya bermula apabila laluan sebelum ke plaza tol yang sebesar lapan lorong menghala ke bahagian pulau ini, dikecilkan menjadi dua lorong sahaja.keadaan ini telah menyebabkan kenderaan berhimpit-himpit sememangnya sangat berbahaya terutamanya kepada kenderaan kecil.


Atas dasar itulah wujudnya keperluan untuk menggandakan lagi laluan yang sedia ada dijambatan ini berbanding membina sebuah lagi jambatan yang indah.Dan sejak tahun lalu, wajah jambatan Pulau Pinang ini semakin berubah apabila projek pelebaran laluan (dari dua kepada empat) lorong dijambatan ini sudah dimulakan.


Ditengah-tengah ketidaktentuan ekonomi serta kenaikan harga komoditi global, adalah wajar kerajaan menangguhkan sementara projek ini, dan menumpukan 'percubaan' projek pelebaran jambatan ini. mungkin dimasa akan datang andainya wujud kemampuan, projek jambatan kedua ini boleh dilaksanakan. Jika tidak 'indah' pun, cukuplah sekadar praktikal dan menjimatkan.


Penulis: Mungkin jambatan Pulau Pinang yang selama ini menjadi ikon
akan hilang jika wujud jambatan kedua.