Tuesday, April 22, 2008

Bank asing tubuh Dana Malaysia tarik pelabur Arab

Oleh: Nazmy Sannusi

Pengaliran semakin banyak berita ekonomi yang positif ini telah mendorong Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) melonjak melebihi 33 peratus ke paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun bermula November tahun lalu sehingga kini.

Kemantapan ekonomi Malaysia kini semakin mendapat perhatian kalangan banyak pelabur institusi antarabangsa yang sebelum ini tidak berminat ke atas Malaysia setelah krisis ekonomi tahun 1998. Ketika itu Malaysia dilihat sebagai negara yang mengamalkan sistem kawalan modal sekali gus menghalang lebih banyak dana asing memasuki negara ini. Akibatnya, pasaran modal Malaysia tidak serancak negara jiran yang lain seperti Indonesia dan Singapura.

Kini segala-galanya telah berubah. Sehingga rencana ini ditulis, KLCI sedang berlegar di paras 1,250 mata, paras tertinggi sejak 10 tahun lalu. Keadaan ini telah mendorong banyak bank dan institusi pelaburan antarabangsa mula memfokuskan pelaburan mereka ke negara ini sejak November lalu. Malah ramai penganalisis melihat urus niaga harian di Bursa Malaysia kini 40 peratus dikuasai oleh pelabur luar negeri terutamanya dari Asia Barat, Eropah dan Amerika.

Disebabkan minat asing terutamanya pelabur rantau Arab terhadap Bursa Malaysia semakin tinggi, sebuah bank yang berpangkalan di Belanda, ABN AMRO Bank buat julung kalinya menubuhkan sebuah dana pelaburan yang berfokuskan pasaran Malaysia khusus untuk pelabur dari rantau Asia Barat. Pakar ekonomi menjangkakan hasil kenaikan petroleum di pasaran dunia, negara-negara Arab menerima antara AS$400 bilion hingga AS$600 bilion hasil jualan minyak sejak dua tahun lalu.

Menurut bank itu, disebabkan kenaikan meyakinkan pasaran modal di Malaysia, ia telah menerima banyak pertanyaan dan permintaan daripada ramai jutawan minyak di rantau Arab yang berpangkalan di Abu Dhabi, Dubai, Qatar dan Kuwait untuk melabur di dalam pasaran modal di Malaysia. Pasaran negara ini dilihat sebagai amat unik, maju, fleksibel dan menarik untuk ramai pelabur khususnya mereka yang mengutamakan pelaburan berkonsepkan syariah.

Untuk peringkat awal ini, ABN AMRO akan menubuhkan sebuah dana amanah berasaskan Indeks Komposit Bursa Malaysia (Index Tracker) dan juga Dana Terjamin (Capital Protected). Ia dijangka akan menarik berbilion-bilion dana daripada pelabur kaya di rantau Arab. Kedua-dua dana ini dijangka akan disenaraikan di Bursa Saham Switzerland dan pihak bank akan bertindak sebagai penyelia kepada kedua-dua dana terbabit.

ABN AMRO juga menjelaskan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) telah mencatatkan prestasi terbaik tahun lalu mencecah 33 peratus. Sejak Januari tahun ini hingga Februari lalu, ia telah naik lagi sehingga lapan peratus, sekali gus menjadikan pasaran Malaysia semakin menarik di kalangan pelabur-pelabur global.

Menurut Ketua Bahagian Pelaburan Islam dan Pelaburan Asia Barat, Ruggiero Lomonaco, “Sesetengah pelabur rantau Asia Barat juga hanya memberikan lebih tumpuan perhatian mereka kepada negara sedang membangun yang besar seperti rantau BRIC (Brazil, Rusia, India dan China). Jadi ramai mereka terlepas pandang terhadap pasaran modal di Asia Tenggara khususnya Malaysia. Selain saham, pelabur juga turut menumpukan perhatian kepada pasaran hartanah tempatan. Pelabur asing kini tertarik dengan perlonggaran polisi kerajaan terhadap pemilikan tanah oleh pelabur asing.

“Di bawah peraturan baru ini, pelabur asing bebas memiliki hartanah serta membuat pinjaman bank tanpa perlu melalui proses birokrasi yang rumit. Ini sekali gus menawarkan potensi cerah terhadap pasaran hartanah negara ini.

“Sebagai contoh, Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang dijangka bakal menarik pelaburan melebihi RM100 bilion terletak di selatan Johor. Ia kini telah berjaya mnarik pelabur luar negeri termasulah dari Singapura, Kesatuan Eropah dan Asia Barat sejak dilancarkan tahun lalu.

“Potensi pembangunan WPI ini sekali gus akan memberi faedah kepada syarikat pembinaan negara ini. Selain syarikat pembinaan, kaunter-kaunter lain seperti sektor barangan pengguna, kewangan, hartanah dan perladangan dilihat sebagai menawarkan kadar dividen yang tertinggi di kalangan negara di Asia Timur.”

Penubuhan Al-Rajhi Bank dan KFH

Menurut Ruggiero lagi, “Malaysia dilihat sebagai destinasi pelaburan yang semakin popular di kalangan pelabur dan usahawan dan institusi kewangan dari rantau Teluk atau GCC. Ia adalah hasil usaha agresif kerajaan negara ini yang ingin menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam bertaraf global selain kekukuhan harga komoditi seperti minyak kelapa sawit, timah dan getah.”

Sejak dua tahun lalu, Malaysia menyaksikan dua buah lagi bank Islam ditubuhkan di negara ini. Penubuhan bank Islam yang berpangkalan di Kuwait, Kuwait Finance House (KFH) pada tahun 2005, dan yang terbaru Al-Rajhi Bank, sebuah bank Islam terbesar di Arab Saudi. Bank-bank ini menjadi bukti kukuh keyakinan pelabur Arab di negara ini. Malah tindakan terbaru KFH yang berhasrat membida kepentingan di dalam RHB Bank bernilai RM12 bilion juga dijangka bakal membentuk sebuah bank Islam terbesar di dunia sekiranya transaksi tersebut menjadi kenyataan penghujung tahun nanti.

Penubuhan bank-bank ini juga dijangka akan menyediakan platform yang memudahkan pengaliran dana antara Asia Barat ke Malaysia. Walaupun masih tiada bukti yang menunjukkan berlaku pengaliran dana dalam jumlah yang besar setakat ini, namun beberapa buah firma penganalisis asing melihat adanya pemindahan dana secara berperingkat ke negara ini, mungkin untuk tujuan aktiviti perniagaan atau pelancongan.

Yang pasti, usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam dan syurga pelaburan kalangan pelabur rantau Arab kini semakin menjadi kenyataan. Usaha yang lebih agresif perlu dilakukan kerana ketika ini Singapura, Dubai dan London juga bakal mencabar usaha kita.