Tuesday, April 22, 2008

Ringgit cecah RM3.1375




Matawang ringgit buat keselian kalinya mencecah tahap tertingginya dalam tempoh sepuluh tahun semalam apabila ia didagangkan pada kadar RM3.1375 berbanding dolar AS.

Adalah sukar untuk menentukan apakah faktor penarik dan penolak kenapa RM bergerak sedemikian rupa kebelakangan ini. Akan tetapi, berdasarkan pelbagai berita positif muncul didalam pasaran tempatan termasuklah kenaikan Indeks Komposit KLCI sejak minggu lalu, jelas mendorong kemasukan pelabur-pelabur asing kedalam pasaran modal. Semalam KLCI mencecah 1,279.30- kurang 20 mata daripada paras sebelum ia menjunam 10.3 peratus pasca pilihanraya lalu.

Namun, kelemahan nilai dolar AS yang berlaku kebelakangan ini juga menjadi faktor yang mengukuhkan rali ringgit berbanding matawang utama dunia yang lain.

Kenaikan ringgit semalam juga selari dengan matawang negara Asia yang lain seperti dolar Singapura yang didagangkan pada kadar $1.3510 ekoran perubahan polisi kewangan negara itu untuk membendung inflasi.Walau bagaimanapun, Peso Filipina, Thai Baht, Rupiah Indonesia didagangkan pada jajaran yang agak sempit mungkin disebabkan pengaruh campurtangan bank pusat masing-masing bagi membendung kenaikan mendadak matawang yang boleh menganggu eksport.

Berdasarkan laporan berita, ramai penganalisis ketika ini bulis akan pergerakan meningkat RM ini. Malah jika harga komoditi terus meningkat, adalah menjadi keperluan bagi Bank Negara Malaysia untuk membiarkan RM terus meningkat mencecah paras pra krisis lalu (RM2.50) berbanding dolar. Keadaan ini perlu bagi menjadikan barangan yang diimport akan lebih murah dan sekaligus membendung kenaikan inflasi.

Namun persoalan yang muncul ialah sejauhmana kenaikan RM dapat membantu ekonomi negara memandangkan Malaysia juga banyak mengeksport barangan keluar negara. Apatah lagi matawang negara jiran dilihat agak keberatan untuk 'mengizinkan' matawang mereka meningkat.

Penulis: Bimbang ia berpotensi merencat pertumbuhan jangkamasa panjang apabila eksport Malaysia hilang daya kompetitifnya.