Saturday, April 26, 2008

Cadangan Projek Disneyland; Johor atau Singapura?



Agensi berita Reuters pada minggu lalu melaporkan, firma pengendali taman tema Tokyo Disneyland, Oriental Land Ltd mengumumkan akan menubuhkan sebuah lagi taman tema yang sama di Asia Tenggara. Namun, Presidennya, Toshio Kagami menjelaskan belum lagi menetapkan negara mana yang bakal dipilih untuk dibangunkan taman tema tersebut.

Desas-desus berkenaan hasrat Malaysia untuk dijadikan lokasi taman tema paling popular didunia ini juga bukan lagi bersifat spekulasi. Dua tahun lalu ketika Wilayah Pembangunan Iskandar WPI dilancarkan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Effendi Norwawi secara terbuka menjelaskan Disneyland bersetuju untuk membuka taman tema tropika di dalam zon WPI Johor ini. Selain untuk faedah pelacongan di Malaysia, Malaysia Disneyland juga bakal menjadi sebagai pelengkap produk pelancongan yang wujud di Singapura (kasino).

Namun, apa yang menariknya, hasrat Oriental Land Ltd untuk memilih Malaysia nampaknya boleh dipersoalkan. Negara jiran, Singapura yang baru saja melancarkan projek kasino meganya secara senyap mula menunjukkan sifat 'tamaknya' telah menanam hasrat untuk menghalang projek itu daripada dibina di Malaysia.

Sebagai tawaran balas, pihak Singapore Tourism Board (STB) menawarkan kepada pihak Walt Disney AS, tanah seluas 30 hektar di pinggir pantai berhampiran pusat kasino untuk dibina taman Disneyland ini. Ketika ini, pihak Walt Disney mengakui mereka sedang berbincang secara serius dengan pihak STB tetapi masih belum ada cadangan konkrit terhadap cadangan ini.

Jika dilihat dari sudut demografik, Malaysia khususnya Johor berada di kedudukan kukuh kerana mempunyai jumlah penduduk yang ramai, selain kemasukan pelancongan yang tidak putus dari Singapura, dan nilai matawang ringgit yang kompetitif. Maka kewujudan Disneyland di Johor lebih sesuai dan boleh mewujudkan situasi menang-menang dikedua-dua pihak.

Walau bagaimanapun, bagi saya hasrat Singapura untuk menarik pihak Walt Disney ke negara itu memang tidak menghairankan kerana ia ada agendanya tersendiri. Antaranya paling mudah digambar adalah seperti:

1) Disebabkan imej kerajaan Singapura kini telah tercalar dimata rakyat ekoran persetujuan membina kasino mega yang dibina di Pulau Sentosa, maka projek taman tema Disney dilihat sebagai usaha untuk menggembirakan dan meredakan kemarahan dan tanggapan negatif masyarakat.

2) Disebabkan Johor pernah dilanda bencana banjir besar awal tahun lalu- satu faktor yang menjadi perkiraan utama Walt Disney dalam membuat keputusan, maka spekulasi memilih Singapura sebagai sebuah negara yang bebas bencana adalah lebih sesuai berbanding Malaysia.

3) Disebabkan kelebihan Singapura dari segi sumber kewangan untuk 'menaja' 100 peratus projek itu, maka ia memudahklan pihak Walt Disney untuk tidak mengeluarkan banyak wang bagi projek terbaru mereka di Asia Tenggara ini. Cukup sekadar memberikan hak francais dan kepakaran sahaja.

4) Disebabkan Singapura yakin bahawa projek WPI ini sukar untuk mencapai kejayaan ekoran tindakan ahli politik Malaysia menggunakan isu tersebut seperti yang dibuktikan ketika PRU 12 Mac lalu. Masyarakat menganggap WPI boleh menjejaskan kedaulatan negara dan hanya akan menguntungkan di pihak Singapura.

Atas hipotesis inilah mereka beranggapan bahawa mereka berada dalam keadaan kukuh untuk menarik projek mega Walt Disney ke negara bandar itu berbanding di Malaysia. Namun projek kasino yang dibina oleh Las Vegas Sands dan Genting turut memasukkan taman tema Universal Studios dijangka siap dua tahun akan datang.

Bagi saya, dengan memiliki begitu banyak projek taman tema dan kasino disebuah pulau yang hanya dihuni oleh 5 juta orang, membina taman tema Disneyland di negara ini bakal menjadikan ia cukup 'santak' dan pasti sukar untuk mendapat sambutan. Pihak Disney sebelum ini pun pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak akan membina taman tema dinegara yang mempunyai kasino kerana ia berpotensi melenyapkan 'jenama' disney itu sendiri.

Ia ditambah lagi dengan suhu harian mencecah 35 darjah celcius, adakah pihak Disney perlu membuat kajian semula untuk menubuhkan taman tema dikawasan tropika seperti di Singapura?


Penulis: Apabila 'Kiasuland' vs 'Bolehland'