Wednesday, April 23, 2008

Padah Menimpa Jika RM Didagangkan Di Luar Negeri



Dalam laporan akhbar Business Times hari ini, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sekali lagi mengatakan, setakat ini tiada keperluan untuk Malaysia membenarkan RM didagangkan di luar pesisir. Disebabkan faktor ketidakstabilan ekonomi global, maka langkah 'mengantarabangsakan' RM dilihat tidak begitu mendesak.

Pengantarabangsaan matawang RM membawa maksud matawang ini dibenar untuk didagangkan secara bebas dalam dan luar negeri sekali gus memudahkan proses jual belinya. Dengan 'mengantarabangsakan' urusniaga RM diluar negara juga, ia didakwa akan lebih memudahkan lagi urusan perdagangan antarabangsa serta membantu kemasukan pelabur asing ke dalam negara ini.

Apa yang berlaku ketika ini, RM hanya didagangkan secara bebas didalam negara ini tetapi tidak diluar negeri. Berdasarkan pengalaman, semasa saya berkunjung di New Zealand tahun lalu misalnya, kebanyakan pengurup wang dan bank hanya menawarkan untuk membeli semula RM tetapi tidak menjual RM di negara itu. Signifikannya, apabila RM tidak diakses dengan mudah kepada orang asing, maka risiko untuk RM menjadi sasaran spekulator matawang adalah rendah berbanding apa yang berlaku sebelum krisis ekonomi 1998 lalu.

Kini, sedang sesetengah penganalisis dan pelabur menanti keputusan kerajaan mengubah polisi berkaitan urusniaga RM ini, tak kurang juga yang berpandangan bahawa tidak ada keperluan untuk mengantarabangsakan RM kerana matawang itu kini sudah didagangkan secara bebas dan tidak dikawal sepenuhnya. Ini bermakna, pelabur yang keluar masuk ke negara ini bebas membeli atau menjual RM tanpa dikenakan sebarang sekatan.

Pun begitu, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa dengan membiarkan RM diniagakan secara bebas dalam dan luar negeri, ia akan memberi semula ruang kepada para spekulator matawang antarabangsa untuk melakukan serangan keatas RM- sekaligus mengulang kembali sejarah krisis ekonomi yang telah melumpuhkan ekonomi negara-negara Asia 10 tahun lalu.

Aktiviti spekulasi matawang kebiasaannya dijalankan oleh spekulator atau pengurus dana lindung nilai (hedge fund) yang kebanyakannya berpangkalan di negara-negara maju. Setelah sasaran negara dan matawang dikenal pasti, mereka akan meminjam matawang negara tersebut melalui bank dalam jumlah yang besar dan menjualnya dipasaran matawang antarabangsa. Disebabkan jumlah matawang yang dijual itu banyak, maka ia akan menyebabkan nilainya jatuh berbanding matawang utama dunia lain seperti dolar AS. Dan setelah matawang itu jatuh, mereka akan mengaut untung hasil pembelian semula dengan harga yang jauh lebih rendah.

Thailand boleh dijadikan contoh kes. Selepas Baht diserang tahun 1998, ia diserang sekali lagi sejak penghujung tahun 2006 lalu. Tetapi arah haluannya kali ini berbeza. Baht bergerak meningkat secara mendadak berbanding dolar AS. Akibat serangan spekulator yang didakwa datang dari Eropah dan Jepun, Baht didagangkan secara turun naik (volatile) sekitar 38.5 Baht berbanding dolar AS tahun 2006, melonjak secara tidak terkawal kepada 30.0 akibat.

Walaupun pelbagai polisi yang lebih ketat dilakukan oleh Bank Pusat Thailand untuk mengekang pergerakan Baht ini seperti dengan melakukan kawalan tukaran asing dan menaikkan kadar faedah, namun usaha ini tidak membuahkan hasil kerana spekulator antarabangsa sememangnya mempunyai kuasa lebih besar untuk menentukan pergerakan matawang ini.

Saya masih teringat ketika Gabenor Bank Pusat negara itu, Taresa Watanagase mengumumkan untuk memperkenalkan kawalan tukaran asing tahun lalu, pasaran sahamnya menjunam lebih 20 peratus dalam sehari! Ia juga turut menarik turun kesemua bursa saham global. Keadaan ini mengingatkan kembali peristiwa krisis 1998 dimana Thailand menjadi negara pertama yang terjejas akibat serangan spekulator.

Akibatnya, ekonomi Thailand menjadi lembab kerana eksport semakin mahal kerana kenaikan ketara Baht. Ini adalah antara bukti menunjukkan bahawa risiko membiarkan RM diakses dengan mudah oleh orang asing sememangnya merbahaya kepada ekonomi Malaysia yang berorientasikan eksport.

Penulis: Tidak juga bersetuju jika RM tidak boleh langsung didagangkan diluar negeri buat selama-lamanya. Tetapi cadangan yang terbaik adalah ia perlu ditangguh buat masa ini. Andainya keadaan meyakinkan, disandarkan dengan kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia yang kini sudah melebihi AS$120 bilion, tak salah untuk kita cuba kembali semula ke zaman sebelum krisis 1998.